Pemimpin BN mahu pertahan pemuafakatan

PEMIMPIN parti komponen Barisan Nasional (BN) bersetuju mempertahankan pemuafakatan dan perpaduan kaum yang diamalkan selama ini kerana ia terbukti berjaya mewujudkan negara cemerlang sehingga menjadi contoh kepada banyak negara membangun lain.

Mereka berpendapat ucapan dasar Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada Perhimpunan Agung Umno 2007 memberi keyakinan bahawa Umno bukan saja menjaga kepentingan Melayu, malah turut menjaga kaum lain.

Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting, berkata ucapan Abdullah sarat dengan mesej penting yang perlu direnungi rakyat pelbagai kaum bagi memperkukuhkan BN sebagai kerajaan memerintah.

"Abdullah memberi ucapan menyeluruh. Beliau memberi keyakinan dan menekankan semula semangat berkongsi kuasa dan memberi jaminan Umno tidak akan melanggar janji kemerdekaan.

"Pada masa sama, Abdullah menegaskan betapa pentingnya semua parti komponen yang mewakili semua kaum bekerjasama berdasarkan kepentingan negara dan perpaduan. Kita sama-sama menangani semua cabaran," katanya.

Ong yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengalukan-alukan penjelasan Abdullah mengenai aspek kebebasan beragama, semangat Perlembagaan yang dipegang teguh dan dasar pembangunan koridor ekonomi untuk semua kaum.

"Ini termasuk pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum. Abdullah menjelaskan apa saja ucapan oleh segelintir perwakilan dari mana-mana parti yang menyinggung perasaan orang lain tidak dikira mewakili parti atau pandangan pucuk pimpinan masing-masing.

"Yang penting semangat BN kuat dan kukuh seperti yang ditegaskan Abdullah," katanya.

Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu juga mahu semua pihak merenung kandungan ucapan Abdullah yang menekankan pentingnya mengekalkan perpaduan kaum dan parti kerana ia adalah penentu kepada pembangunan negara yang lebih maju.

"Saya gembira dengan ucapan itu dan bersetuju dengan cadangannya bahawa kita mesti bersatu padu antara kaum, barulah kita boleh membangun sebagai satu negara dan lebih maju.

"Saya juga gembira beliau prihatin terhadap semua kaum. Ini menunjukkan tanda positif kepada kerjasama antara Umno dan parti komponen lain pada tahun-tahun mendatang," katanya.

Samy Vellu yang juga Menteri Kerja Raya berkata, sebenarnya tiada langsung masalah hubungan antara masyarakat Melayu dan India di negara ini.

Pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon menerima ucapan bernas Abdullah sebagai asas untuk keharmonian dan perpaduan antara kaum, terutama apabila Perdana Menteri menjelaskan Malaysia memberi peluang kepada semua kaum.

"Saya memang kagum kerana Pak Lah mengutamakan semangat Perlembagaan dan Rukun Negara yang menegaskan aspek perpaduan dan semangat kemerdekaan. Sememangnya perpaduan dan masa depan negara di tangan semua, bukan saja pemimpin," katanya.

Mengenai isu keris, Koh berkata, penjelasan semua pemimpin Umno memberi definisi yang lebih jelas kerana ia untuk mempertahankan semua, bukan untuk satu kaum saja.

Presiden Parti Progesif Penduduk (PPP), Datuk M Kayveas berkata, ucapan Abdullah amat mementingkan perpaduan nasional kerana ia menjadi kekuatan mencapai kemenangan besar pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata, perkongsian kuasa menerusi BN menjadi bukti keteguhan perpaduan nasional dan hendaklah dihayati setiap lapisan masyarakat.

Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup, berkata seruan dan ingatan Abdullah untuk menghormati antara kaum dan agama amat jelas dan ia sebenarnya sumber kekuatan BN.

"Selain itu, kita akui perubahan sikap dan penerokaan minda untuk penguasaan ilmu pengetahuan bagi meneruskan kejayaan sejajar Wawasan 2020 dan Misi 2057 amat penting," katanya.

Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Joseph Pairin Kitingan, berkata ucapan Abdullah yang menjelaskan dengan panjang lebar mengenai integriti kaum menjadi kunci kejayaan negara selain menghadapi pilihan raya akan datang.

Katanya, Perdana Menteri juga menegaskan perpaduan, toleransi agama serta keharmonian antara kaum sebagai satu keluarga bangsa Malaysia yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Datuk V K Liew, berkata Abdullah dengan jelas memberi jaminan bahawa setiap rakyat bebas mempraktikkan ajaran agama yang dianuti.

"Beliau juga mahu keharmonian dan kesejahteraan kaum sedia ada diperkuatkan dan menjadi tanggungjawab BN memastikan perpaduan terus menjadi agenda utama semua pihak," katanya.

Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768