Gubal peraturan sekat Melayu jual tanah
WAKIL Selangor, Datuk Ahmad Kurasi Mohd Nor, mencadangkan penggubalan satu peraturan bagi menyekat orang Melayu menjual tanah hak milik mereka sewenang-wenangnya di kawasan koridor pembangunan ekonomi wilayah.
Pada masa sama, sebuah badan khas perlu diwujudkan bagi memajukan tanah orang Melayu dalam bentuk yang lebih sesuai dan menguntungkan tetapi hak milik dikekalkan.
"Cadangan ini supaya hak milik tanah orang Melayu kekal terutama di kawasan yang terbabit dalam koridor pembangunan wilayah," katanya.
Beliau yang juga Ketua Umno Hulu Langat berkata demikian ketika membahaskan ucapan dasar Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada Perhimpunan Agung Umno 2007.
Ahmad Kurasi juga berkata, langkah kerajaan melaksanakan koridor pembangunan ekonomi wilayah seperti Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI), di Selatan Johor mestilah mendapat sokongan seluruh rakyat.
Namun, beliau bimbang dan tidak mahu melihat ia hanya menguntungkan sesetengah pihak apabila dikuasai pelabur asing yang tidak faham atau tidak peka mengenai kepentingan masyarakat majmuk negara.
"Saya membangkitkan perkara ini kerana tidak mahu melihat pembangunan koridor ekonomi wilayah menyebabkan orang Melayu menjual tanah mereka untuk mengaut keuntungan jangka pendek.
"Akhirnya ia menyebabkan orang Melayu terus tersepit menjadi lebih miskin. Menjadi orang miskin di negara miskin adalah biasa tetapi alangkah malang jika kita menjadi miskin di negara maju dan kaya," katanya.
Beliau berkata sejarah membuktikan bumi Palestin sebelum ini adalah milik penuh rakyatnya, manakala Yahudi adalah pendatang dan penumpang tetapi apabila mereka menjual tanah, bangsa Zionis mendakwa Palestin adalah miliknya.
Selain itu, katanya, kemuncak kejayaan berpolitik ialah membentuk kerajaan dengan kemenangan majoriti besar, seterusnya mendapat mandat mengurus kerajaan yang kuat dan stabil untuk melaksana pembangunan bagi manfaat rakyat.
Sehubungan itu, beliau meminta semua kaum menyokong dasar dan pelaksanaan projek pembangunan yang dirancang kerajaan.
"Sebagai contoh, di kawasan Hulu Langat kita tidak membina surau walaupun mendapat kelulusan dan banyak surau di Selangor diambil tindakan kerana tidak mengikut peraturan. Oleh itu, saya minta rakan kita dalam parti komponen BN patuh dan bersedia demi menjaga perpaduan antara kaum," katanya.
|