Jangan ketepikan wilayah tengah: Suhaili
WAKIL Wilayah Persekutuan, Datuk Suhaili Abd Rahman mencadangkan gagasan ekonomi dikenali Gerbang Pembangunan Ekonomi Wilayah Tengah diwujudkan sebagai pelengkap kepada Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI), Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).
Beliau yang juga Ketua Umno Labuan, berkata pengwujudan Gerbang Pembangunan Ekonomi Wilayah Tengah itu wajar kerana hanya Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka tidak termasuk dalam pembangunan ekonomi yang diwujudkan baru-baru ini.
"Objektifnya bukan untuk menyaingi pembangunan koridor lain, tetapi memastikan empat negeri itu khususnya Kuala Lumpur tidak terpinggir daripada lakaran pembangunan masa depan.
"Umno Wilayah Persekutuan melihat rangkuman gagasan ekonomi yang dibentuk itu boleh mewujudkan rangkaian fungsi antara kluster-kluster dalam gagasan berkenaan.
"Sebagai contohnya, Kuala Lumpur boleh berfungsi sebagai pusat komersial, perdagangan dan kewangan antarabangsa, pusat pelancongan, pusat membeli-belah serta kebudayaan, selain pusat pendidikan dan kesihatan antarabangsa," katanya ketika membahaskan ucapan dasar Presiden.
Suhaili berkata, faktor yang mengukuhkan kewajaran penubuhan gerbang itu ialah kerana ada kawasan pembangunan khas di sekitar Lembah Klang, seperti Pusat Pentadbiran Putrajaya, Cyberjaya, Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Bioteknologi di Dengkil-Nilai, kawasan perindustrian berat dan pentadbiran di Shah Alam serta hab pembangunan pelabuhan maritim di Pelabuhan Klang.
Sehubungan itu, katanya, persoalan penting ialah sejauh mana jaminan kerajaan untuk merangka pelan sahih dan khusus dalam menentukan penanda aras serta peratusan dan peranan pembabitan orang Melayu dalam semua pembangunan koridor ekonomi berkenaan.
"Kita tidak mahu berlaku seperti pepatah Melayu menang sorak kampung tergadai," katanya.
Beliau juga mengesyorkan setiap perancangan dan pelaksanaan diumumkan pada rakyat supaya lebih telus dan difahami apakah yang berlaku di kawasan dan sekeliling mereka.
Selain itu, Suhaili berkata, Umno Wilayah berpendapat sistem pengangkutan dan logistik yang mantap akan memudahkan dan mempercepatkan perjalanan antara kawasan dalam Gerbang Ekonomi Wilayah Tengah berkenaan.
"Dalam merealisasikan Gerbang Pembangunan Ekonomi Wilayah Tengah berjalan lancar, keselesaan sistem pengangkutan amat penting kerana ia terletak dalam aliran trafik yang amat tinggi dengan kos yang tinggi.
"Kegusaran ini berasas, apatah lagi apabila mendengar rintihan Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Melaka yang terpaksa mengharungi kesesakan lalu lintas selama lebih dua jam untuk sampai ke majlis rumah terbuka Aidilfitri Pengerusi Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan pada 4 November lalu," katanya.
Sementara itu, Suhaili berkata, Labuan bersedia untuk menjadi Pusat Pengedaran Hab Halal untuk Wilayah Persekutuan dengan peruntukan sebanyak RM50 juta dan ditambah kepada RM86 juta.
|