Jangan jadi penumpang dalam perkhidmatan awam
BADAN Perhubungan Umno Pahang meminta anggota perkhidmatan awam yang enggan bekerjasama menjayakan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) supaya meletak jawatan agar tidak membebankan kerajaan.
Wakilnya, Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman berkata kerajaan tidak memerlukan penumpang seperti mereka kerana ia hanya menjejaskan nama baik anggota perkhidmatan awam lain yang sedia memikul amanah yang diberikan.
"Janganlah jadi beban kepada kerajaan yang hendak memberikan khidmat terbilang kepada rakyat. Penuhi hasrat Perintah Am bahawa pegawai kerajaan tidak hanya dikehendaki berlaku jujur, malah tidak berkelakuan sehingga dianggap tidak jujur.
"Tidak akan bermakna Pelan Integriti Nasional (PIN) yang dilancarkan Perdana Menteri pada 23 April 2004 jika penjawat awam gagal menjiwai lima sasaran pelan berkenaan," katanya.
Membahaskan ucapan dasar Presiden, Ahmad berkata ketika ini ada 1.394 juta anggota perkhidmatan awam iaitu kira-kira lima peratus daripada 24.36 juta penduduk negara.
"Nisbah bagi seorang kakitangan kerajaan adalah 20 bagi setiap warga negara. Bilangan ini adalah jumlah yang besar dan sewajarnya pihak terbabit mengembalikan kepercayaan dengan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat," katanya.
Ahmad yang juga Ketua Umno Paya Besar menyifatkan langkah kerajaan melantik Petronas untuk memacu pembangunan Koridor Pembangunan Wilayah Timur (ECER) sebagai keputusan luar biasa yang mendapat sokongan padu semua pihak.
Katanya, gagasan pembangunan ekonomi bagi memacu pembangunan wilayah adalah usaha yang memerlukan pendekatan menyeluruh dan bersepadu yang biasanya dikendalikan oleh kerajaan.
"Kita berharap Petronas akan menjalankan tanggungjawabnya dengan cemerlang bagi memastikan program pembangunan mencapai matlamat, sekali gus memacu pembangunan 50 tahun Malaysia merdeka selaras hasrat Perdana Menteri" katanya.
|