Perkara 11 Perlembagaan perlu diperjelas
WANITA Umno mencadangkan supaya perkataan rasmi dimasukkan dalam Peraturan 3 (berkaitan Islam) Perlembagaan Negara berhubung penentuan agama rasmi negara.
Exconya, Datuk Kamilia Ibrahim berkata, pindaan itu penting untuk menyatakan secara tegas bahawa Islam adalah agama rasmi negara dan mengelak daripada kemungkinan ada pihak yang berani mempertikaikannya pada masa depan.
“Kita juga mencadangkan supaya kerajaan memberi penjelasan kepada mereka yang tidak faham bahawa Perkara 11 dalam Perlembagaan Negara jelas menyatakan penganut agama lain tidak boleh menyebarkan agama lain kepada orang Islam.
“Ini perlu dijelaskan supaya tidak timbul kekeliruan dan pertikaian terhadap perkara asas yang boleh menjejaskan keharmonian dan keamanan, selain menggugat perancangan pembangunan negara,” katanya.
Kamilia juga berkata, Wanita Umno mencadangkan supaya Akta Perpaduan Kaum digubal bagi membolehkan urusan berkaitan perpaduan diuruskan dengan lebih baik.
Selain itu, Wanita Umno mencadangkan supaya Akta Pentadbiran Agama Bukan Islam diwujudkan supaya agama bukan Islam diurus dan mempunyai peraturan dan undang-undang yang lebih sistematik dan spesifik.
Beliau juga mengingatkan semua pihak supaya tidak menjadikan isu perundangan dan alam sekitar sebagai isu perkauman.
"Jangan lupa banyak kerusi Umno yang diberikan untuk menolong rakan lain dalam Barisan Nasional (BN)... kacang jangan lupakan kulit,” katanya yang mendapat sorakan perwakilan.
Kamilia yang juga Ketua Wanita Umno Kuala Kangsar berkata, Wanita mencadangkan supaya Majlis Tindakan Undang-undang seperti penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi ditubuhkan berikutan wujudnya kekeliruan mengenai tafsiran Perlembagaan Negara.
Katanya, majlis itu dapat memantapkan perundangan yang ada termasuk mengkaji peruntukan dan pentadbiran undang-undang dalam Perlembagaan Negara serta mendokong prinsip keadilan dan kesaksamaan.
Beliau turut menyentuh mengenai pertambahan kerusi untuk calon wanita dalam pilihan raya umum akan datang dan menyifatkan langkah itu sebagai selaras dengan usaha mendapatkan penyertaan 30 peratus wanita dalam membuat dasar dan keputusan.
|