Hafiz sebak ketika perdengar bacaan


WAKIL Rakyat Batu Kurau, Kapten (B) Datuk Mohd Najmuddin Elias al-Hafiz, yang diberi penghormatan memperdengarkan hafazan ayat suci al-Quran ketika Perhimpunan Agung Umno, hampir tidak dapat meneruskan bacaannya kerana terlalu sebak sehingga menangis.

Mohd Najmuddin, satu-satunya wakil rakyat di negara ini yang bergelar al-Hafiz berkata, beliau tiba-tiba diselubungi perasaan itu kerana terkenangkan Allahyarham bapanya, Elias Che Mat, seorang bilal masjid.

"Sebelum bapa saya meninggal ketika usia saya lapan tahun, beliau pernah mewasiatkan kepada ibu supaya mendidik saya menjadi seorang hafiz al-Quran.

"Ketika memperdengarkan hafazan, saya tiba-tiba teringatkan Allahyarham dan kalaulah beliau masih hidup sudah tentu beliau akan berbangga melihat impiannya menjadi nyata," katanya yang diundang untuk memperdengarkan hafazannya pada saat-saat akhir.

Mohd Najmuddin berkata, beliau juga nyaris tidak dapat menunaikan wasiat bapanya itu kerana lewat belajar membaca al-Quran, malah ketika usia remajanya, beliau langsung tidak mahir membaca kitab suci itu.

"Alhamdulillah, ketegasan guru di Pusat Islam dan doa ibu berjaya memberi kekuatan kepada saya untuk bergelar al-Hafiz," katanya yang mengambil masa dua tahun setengah untuk menghafaz al-Quran.

Beliau berkata, antara petua yang diamalkannya untuk menguatkan ingatannya dalam hafazan ialah memakan 21 kismis merah setiap hari dan buah delima, selain mengelakkan makanan seperti otak udang, kepala ikan serta minuman berkarbonat.

Anak kedua daripada enam beradik itu berkata, seorang lagi adiknya, Muhd Khazim, seorang pendakwah di Perak juga bergelar al-Hafiz.

PROFIL:

Nama: Kapten (B) Datuk Mohd Najmuddin Elias al Hafiz

Umur: 45 tahun

Pendidikan: - Ijazah Pengurusan Perniagaan Universiti Paramount, Los Angeles, Amerika Syarikat.

- Pusat Tahfiz, Pusat Islam, Kuala Lumpur.
- Sekolah Menengah Agama Shubaniah, Batu Kurau.
- Pondok Penanti, Bukit Mertajam.
- Sekolah Menengah Datuk Kamaruddin, Batu Kurau.
- Sekolah Rendah Tok Sajuk, Batu Kurau.

Kerjaya: - Guru Agama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) (1986-2003)
- Pengarah, Jawatankuasa Khas Negeri Perak (Jasa) (2003)
- Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Kurau dan Setiausaha Politik Menteri Besar Perak (2004)

Keluarga: - Isteri, Datin Umi Kalsum Mohd Husni
- Empat anak perempuan berusia antara tujuh hingga 17 tahun.

Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768