|
|
|
|
|
|
|
|
Perwakilan persoal kementerian diterajui kaum tertentu
SESEORANG menteri yang mewakili kaum tertentu tidak seharusnya bertugas terlalu lama di sesebuah kementerian kerana ia boleh membawa kepada rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Sehubungan itu, Wakil Umno Terengganu, Datuk Ahmad Shabery Cheek (gambar), berkata Perdana Menteri yang juga Presiden Umno perlu meneliti semula perkara itu, terutama mengenai soal sesetengah kementerian mesti diterajui oleh satu bangsa saja.
"Kenapa sesetengah kementerian itu mesti bangsa itu... kaum itu duduk di situ sampai berpuluh-puluh tahun. Kerana terlalu lama berada atas satu tampuk kekuasaan, ia boleh membiakkan kuasa mutlak, membiakkan rasuah dan penyalahgunaan kuasa," katanya ketika membentangkan usul terima kasih atas ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung Umno 2007.
Tanpa menyebut nama kementerian terbabit, Ahmad Shabery berkata, semua 32 menteri negara ini, iaitu bilangan anggota Kabinet terbesar di dunia, mesti mengartikulasikan pemikiran, semangat dan jiwa Perdana Menteri.
“Mereka seharusnya bukan sekadar menyokong atau mempertahankannya, sebaliknya turun ke bawah menyemarakkan semangat rakyat bagi melaksanakan apa yang dikehendaki Perdana Menteri.
"Kalau 32 orang ini tak buat, saya ingin nyatakan inilah pembaziran paling besar," katanya yang menerima sorakan dan tepukan gemuruh perwakilan.
Beliau yang juga Ketua Penerangan Umno Terengganu, berkata, kontrak perjanjian lama membabitkan syarikat yang membawa kesan kepada kenaikan harga barang dan perkhidmatan yang terpaksa ditanggung oleh rakyat, perlu dikaji semula atau dimansuhkan.
Dengan memberikan contoh kontrak perjanjian tol yang hanya memberi jaminan keuntungan kepada syarikat konsesi dan perjanjian antara Tenaga Nasional Bhd (TNB) dengan syarikat penjana kuasa persendirian (IPP), beliau berkata, berikutan perjanjian itu, ia menyebabkan kerajaan dan rakyat terpaksa menanggung kos kenaikan itu.
"Pak Lah kuat sekarang ini, kaji balik segala perjanjian. Kalau perlu kita mansuhkan perjanjian ini," katanya.
Beliau secara lantang dan tegas menyatakan sekiranya ada syarikat atau pihak luar membuat ugutan dengan menyatakan kerajaan tidak menghormati perjanjian yang sudah dimeterai jika berbuat demikian, katanya, kerajaan boleh meminta mereka untuk bersifat lebih patriotik ketika kenaikan harga barang dan minyak sekarang.
"Kalau kita buang mereka dan disebabkan itu harga tenaga kita lebih murah, Insya-Allah pelabur akan datang kerana ia memberi lebihan kompetitif dalam soal ini," katanya yang menjelaskan dua lagi sebab kenaikan harga barang ialah kenaikan harga minyak dunia yang di luar kawalan kerajaan dan salah urus dana.
Beliau juga berkata, pihak berkuasa mesti bertindak tegas menguatkuasakan undang-undang terhadap pengendali laman blog yang menghina Raja-Raja Melayu dan pelampau agama termasuk di kalangan penganut agama lain.
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|