Abdullah luahkan isi hati Umno: Mukhriz

EXCO Pemuda, Datuk Mukhriz Mahathir berkata ucapan dasar Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada perhimpunan agung tahun ini adalah yang terbaik pernah didengarnya.

Mukhriz berkata, beliau lega dan gembira kerana ucapan dasar Presiden memberi penekanan menyeluruh mengenai semangat Barisan Nasional (BN) yang perlu diteruskan bagi memacu pembangunan negara.

"Daripada awal lagi dalam ucapannya, Presiden memperjelaskan mengenai semangat BN yang sudah menunjukkan rekod cemerlang (menyatupadukan rakyat) daripada sebelum merdeka hingga sekarang. Inilah yang beliau mahu kita teruskan," katanya.

Beliau berkata, dalam ucapannya Abdullah menyatakan secara jelas hasrat dan isi hati Umno serta orang Melayu untuk meneruskan konsep perkongsian kuasa dan tidak akan sama sekali menggoyah perjanjian yang terbentuk ketika mahu mendapatkan kemerdekaan.

"Pada masa sama, Presiden membangkitkan perlunya parti komponen BN daripada kaum dan agama lain turut memahami sensitiviti orang Melayu. Justeru, mereka tidak seharusnya mengungkit lagi mengenai kontrak sosial (yang sudah dipersetujui bersama)," katanya.

Mukhriz juga berkata, ucapan dasar yang bernas dan lengkap itu memuaskan hati perwakilan dan merungkai perkara yang terbuku di hati yang dianggap penting lebih-lebih lagi menjelang pilihan raya yang bakal diadakan pada bila-bila masa.

Katanya, Presiden juga menyentuh secara menyeluruh keadaan ekonomi negara yang sedang berkembang pesat, tetapi kerajaan tetap memberi penekanan kepada konsep pengagihan sama rata di seluruh negara.

"Presiden juga memberi penjelasan mengenai penekanan kepada program pembasmian kemiskinan yang saya kira langkah yang memuaskan hati semua pihak terutama di luar bandar," katanya.

Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768