GLC mesti sahut seruan PM
AHLI Majlis Tertinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mahu syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menyahut saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, mendukung wawasan negara untuk melahirkan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB).
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, GLC seharusnya memainkan peranan lebih besar berkongsi pengalaman dan menjadi pemangkin kepada penyertaan Bumiputera dalam bidang keusahawanan.
Katanya, GLC juga perlu aktif mengembangkan MPPB dan mempercepatkan proses pemindahan teknologi kepada syarikat tempatan.
"Kementerian akan menghubungi semua GLC supaya mereka dapat menyediakan program khusus yang menyediakan peluang perniagaan kepada usahawan," katanya.
Mohamed Khaled berkata, bagi mencapai hasrat itu, wakil rakyat turut bertanggungjawab mengatasi masalah kemiskinan di kawasan masing-masing dengan menggunakan pendekatan yang bijak bagi melahirkan usahawan.
"Saya berharap masyarakat yang miskin ini pula menggunakan koperasi sebagai satu kaedah membantu mereka mengatasi kemiskinan. Ia juga satu kaedah bagi melahirkan usahawan dalam jangka panjang," katanya.
|