Ucapan Abdullah dikagumi pemerhati asing

WAKIL parti politik luar negara yang menghadiri Perhimpunan Agung Umno 2007 menyifatkan ucapan dasar Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi penuh semangat dan memberi inspirasi kepada mereka untuk mencontohi beliau membela nasib rakyat.

Setiausaha Barisan Patriotik Kesatuan Kebangsaan Zimbabwe, Dr O N Mucheno, berkata isi kandungan ucapan dasar itu sangat berkesan.

"Presiden anda memastikan hak kesaksamaan rakyat diberi sama rata tanpa mengira kaum, bangsa dan agama. Beliau juga menekankan kepentingan mengekalkan perpaduan rakyat. Kami amat kagum dengan kepemimpinan Perdana Menteri sejak dulu lagi.

"Ini kali pertama saya menghadiri Perhimpunan Agung Umno dan bangga dapat berada di sini. Kami mahu menimba pengetahuan dari Malaysia yang semakin maju," katanya.

Wakil Parti Komunis Cuba, Carlos A Amores, berkata inti pati ucapan dasar Presiden Umno yang mengetengahkan pelbagai isu penting boleh diguna untuk merangka agenda pembangunan negara mereka.

"Beliau tahu secara terperinci perancangan pembangunan untuk rakyat dan kini, Malaysia negara yang stabil, malah lebih hebat daripada negara lain yang terlebih dulu mengecapi kemerdekaan.

"Ini petanda kecemerlangan Malaysia sempena kemerdekaan ke-50 negara ini. Kami sentiasa mengikuti perkembangan Malaysia dan menghormati serta mengagumi prinsip pemimpin negara ini yang mementingkan kesaksamaan dan perpaduan kaum," katanya.

Wakil parti Nur Otan dari Kazakhstan, Rakhmat Muhashar, juga bangga dapat mewakili negaranya hadir perhimpunan kali ini kerana Malaysia disegani sebagai sebuah negara Islam yang maju walaupun mempunyai rakyat berbilang kaum.

"Kami kagum dengan projek ekonomi Malaysia, rakyatnya ramah dan sentiasa bersedia menerima tetamu serta hidup bersatu," katanya.

Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat Parti Komunis Vietnam, H E Bu Thant Quyen, berkata perhimpunan parti politik ini adalah yang terbaik pernah dihadirinya.

"Ucapan dasar Presiden Umno secara kasarnya sungguh mantap dan memberi inspirasi kepada rakyat untuk memberi tumpuan kepada isu pembangunan dan bangsa," katanya.

Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768