Wakil Kedah saran satukan perkhidmatan awam

UMNO Kedah mencadangkan pengwujudan Perkhidmatan Awam Malaysia, iaitu skim tunggal yang menyatukan semua perkhidmatan awam bagi memastikan kerajaan dapat melahirkan generasi penjawat awam paling berkualiti.

Wakilnya, Datuk Othman Aziz <(gambar), berkata skim itu bukan saja bertepatan dengan sistem meritokrasi yang diamalkan kerajaan, malah memberi peluang kepada kira-kira sejuta penjawat awam yang berkelayakan menduduki jawatan penting seperti Ketua Setiausaha (KSU) dan Ketua Setiausaha Negara (KSN).

"Kerajaan akan mendapat faedah kerana dapat memilih penjawat awam yang terbaik daripada sejuta kakitangan berbanding sistem yang diamalkan sekarang," katanya berucap menyokong usul terima kasih atas ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung Umno 2007.

Pada masa ini, jawatan KSU dan KSN diisi di kalangan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD).

Othman yang juga Naib Ketua Umno Bahagian Jerlun berkata, ungkapan "Kepemimpinan AN" wajar diwujudkan bagi merujuk gabungan kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya, Datuk Seri Najib Razak serta Aspirasi Negara" (AN) yang menjadi matlamat utama mereka.

Katanya, aspirasi negara adalah satu anjakan idea yang bersifat universal dan berbeza dengan apa yang diutarakan pemimpin Melayu terdahulu.

"Idea yang diutarakan Perdana Menteri disambut baik Timbalan Perdana Menteri yang bertindak sebagai pemimpin yang bertanggungjawab memastikan kelancaran pelaksanaan program bagi memartabatkan bangsa," katanya.

Othman berkata, orang Melayu juga perlu menjadi golongan 'pemberi' bukannya golongan 'penerima' kerana label Melayu sebagai golongan penerima merendahkan maruah dan kemampuan sebenar bangsa.

Katanya, Melayu bukan lagi bangsa mundur yang mengharapkan bantuan bangsa lain, malah sudah membuktikan kemampuan mentadbir dan mengurus hal ehwal negara dan rakyat pelbagai kaum.

"Melayu sudah menderma organ kepada kaum lain... kaum lain pula sanggup menyerah dada dan nyawa untuk dibedah doktor Melayu. Bukan Melayu juga sanggup menyerahkan wang untuk diurus orang Melayu," katanya.

Menyentuh soal ekonomi, Othman berkata, Umno Kedah yakin pelaksanaan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) bukan saja dapat mengubah nasib orang Melayu di utara Semenanjung, tapi juga penduduk Islam di selatan Thailand.

"Ia juga akan menghasilkan tempias kepada wilayah selatan Thailand yang bergolak," katanya.

Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768