Kejayaan basmi kemiskinan jadi petunjuk prestasi wakil rakyat, kata PM

DATUK Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata kejayaan membasmi kemiskinan akan dijadikan satu daripada petunjuk prestasi wakil rakyat di kawasan masing-masing.

Ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden Umno pada Perhimpunan Agung Umno 2007, Perdana Menteri berkata wakil rakyat Barisan Nasional (BN) perlu menjadikan agenda membasmi kemiskinan sebagai prioriti kerana pembasmian kemiskinan adalah matlamat utama dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Beliau berkata program pembasmian kemiskinan yang membabitkan kepentingan semua kaum itu akan diberikan tumpuan intensif dalam fasa kedua pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

“Semoga dalam tempoh masa yang tidak terlalu lama, di bumi Malaysia, perkataan miskin hanya tinggal sebagai satu istilah yang terkandung di dalam kamus,” katanya.

Presiden Umno itu berkata negara tidak akan tenteram jika bilangan rakyat yang miskin masih ramai.

“Kemiskinan boleh menjadi punca mencetuskan ketidakstabilan politik, demonstrasi jalanan, kadar jenayah yang tinggi dan masalah sosial yang besar,” katanya.

Abdullah mahu semua pihak memenuhi semangat DEB untuk memastikan komposisi kumpulan profesional dan pertengahan lebih seimbang dan masyarakat Malaysia tidak lagi berlandaskan kepada profesion.

Katanya, bukan Melayu tidak perlu bimbang dengan semangat DEB yang masih diteruskan kerana ia tidak bertujuan merampas hak mana-mana warga Malaysia sebaliknya ia akan membasmi kemiskinan secara menyeluruh.

“Kerana itu, meskipun telah 37 tahun dilaksanakan, belum berlaku keadaan kerajaan merampas kekayaan daripada bukan Melayu untuk menjadikan Melayu kaya.

“Malah kekayaan bukan Melayu terus meningkat. Senarai warga terkaya di Malaysia didahului oleh bukan Melayu. Hasrat memenuhi semangat Dasar Ekonomi Baru perlu didukung bersama oleh semua pihak,” katanya.


Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768