Jangan jejaskan keamanan: Najib
DATUK Seri Najib Razak mengingatkan semua pihak, termasuk pembangkang supaya tidak cuba mencetuskan tindakan yang boleh menjejaskan keharmonian dan keamanan negara.
Timbalan Presiden Umno berkata, mereka yang cuba melakukan perkara berkenaan mesti sedar bahawa tindakan seumpama itu ada hadnya dan tidak boleh melanggar sempadan.
Katanya, semua pihak perlu ingat bahawa negara ini mempunyai undang-undang dan perlu dipatuhi dan jika tiada tindakan diambil ia bukan bererti prinsip berkenaan sudah dikorbankan.
"Ahli Umno dan Barisan Nasional (BN) juga jangan melatah kalau dicuit oleh pembangkang atau sesiapa saja. Kita jangan melatah, kita juga berasakan apa yang diperjuangkan mesti dalam konteks menjaga keharmonian dan keamanan negara," katanya.
Mengulas ucapan dasar Presiden Umno pada Perhimpunan Agung parti itu, beliau berkata, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu mengingatkan semua pihak supaya tidak menimbulkan sesuatu isu tanpa mengambil kira sensitif kaum.
Katanya, ucapan itu juga memberi mesej bahawa apa saja bentuk penyelesaian mesti dilaksanakan dengan pemuafakatan dalam BN.
"Pendekatan pemuafakatan ini adalah pendekatan yang kita akan gunakan dalam menangani sesuatu isu walaupun ia sensitif," katanya.
Najib yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, Presiden dalam ucapannya turut mengajak orang Melayu berfikir mengenai persediaan masa depan, termasuk pembangunan koridor ekonomi.
Selain itu, katanya, Presiden mengajak ahli Umno menyusun barisan kepemimpinan dan melakukannya secara sistematik dan teratur.
"Presiden juga sekali lagi menekankan betapa pentingnya pembangunan modal insan, pendekatan Islam Hadhari dan segala usaha untuk membangunkan negara kita 50 tahun akan datang supaya menjadi lebih gemilang," katanya.
|