Abdullah doakan Mahathir pulih dan segar semula
PERDANA Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mendoakan agar Tun Dr Mahathir Mohamad, yang sedang berehat selepas menjalani pembedahan pintasan koronari kedua pada 4 September lalu, agar cepat sembuh.
“Tun Dr Mahathir yang sekarang masih berehat, kita doa mudah-mudahan kesihatan beliau akan pulih dan beliau segar semula,” katanya di hadapan lebih 2,500 anggota perwakilan Perhimpunan Agung Umno 2007.
Beliau ketika itu menyampaikan ucapan dasar selaku Presiden Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Pada ketika itu beliau menyentuh mengenai kemakmuran yang dikecapi rakyat sejak 50 tahun lalu, hasil kebijaksanaan pemimpin terdahulu daripada Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj, Tun Abdul Razak Hussein, Tun Hussein Onn dan Dr Mahathir.
Dr Mahathir menjalani satu lagi pembedahan, untuk membersihkan luka pada 22 September, ketika masih dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) selepas menjalani pembedahan pintasan jantung itu, dan dibenarkan keluar IJN pada 21 Oktober.
Bekas perdana menteri itu tidak hadir ke perhimpunan agung Umno kali ini atas nasihat doktor.
|