Abdullah periksa perbarisan Wanita, Pemuda, Puteri

PERHIMPUNAN Agung Umno 2007 dimulakan dengan acara tradisi Presiden, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memeriksa perbarisan dan menaikkan bendera keramat Umno - Sang Saka Bangsa, di Dataran Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Perdana Menteri yang berpakaian baju Melayu dan sampin serba merah tiba bersama isterinya, Datin Seri Jeanne Abdullah pada jam 8.40 pagi, sebelum memeriksa perbarisan yang disertai 150 ahli Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno.

Abdullah diiringi Ketua Wanita, Datuk Seri Rafidah Aziz; Ketua Pemuda, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Ketua Puteri, Datuk Noraini Ahmad serta Komandan Perbarisan, Mohd Nazri Yusoff dari Pemuda.

Presiden Umno kemudian diiringi Timbalannya, Datuk Seri Najib Razak dan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad, menaikkan bendera Sang Saka Bangsa ketika lagu parti dinyanyikan.

Sang Saka Bangsa dinamakan secara rasmi sebagai bendera Umno tahun lalu dan dinaikkan menggunakan nama itu pada Perhimpunan Agung Umno ketika itu.

Hadir sama, isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta pemimpin utama parti pada peringkat pusat dan negeri.

Sebaik majlis itu tamat jam 9.07 pagi, Abdullah dan pemimpin tertinggi parti memasuki Dewan Merdeka bagi memulakan perhimpunan agung.

INFO
Sang Saka Bangsa


  • Sang: Gelaran yang bersopan, dipakai orang zaman dulu kala. Gelaran ini menunjukkan kesopanan dan ketinggian budaya Melayu.

  • Saka: Peninggalan sesuatu keturunan Melayu yang berkaitan dengan rohaniah atau semangat sebagai kewibawaan keturunan itu.

  • Bangsa: Orang Melayu yang menjadi bangsa berdaulat dan bangsa yang diperjuangkan hak dan maruah oleh Umno.

  • Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
    Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768