Samy Vellu anggap isu kuil selesai
KUALA LUMPUR: Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu menegaskan beliau dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo sudah mencapai penyelesaian berhubung isu merobohkan kuil di Rimba Jaya, Shah Alam.
Menteri Kerja Raya itu berkata, tidak sepatutnya mana-mana pihak, terutama di luar MIC terus mencetuskan kontroversi kerana usaha sedang dibuat bagi menyelesaikannya dengan membina kuil berkenaan atas sebidang tanah yang diberikan kerajaan Selangor.
"Isu kuil ada penyelesaian dan kita sedang mengatasinya. Walaupun ada sedikit berkumpul, cucuk sini, cucuk sana, saya ikut arahan Perdana Menteri, iaitu kita mesti menyelesaikan masalah ini.
"Perdana Menteri sudah arahkan saya menyelesaikan bersama Menteri Besar Selangor... kita sedang atasi dan jika tidak boleh selesaikan kita akan bawa kepada Perdana Menteri," katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis pembukaan Perhimpunan Agung Umno.
Sebelum ini, Samy Vellu dilaporkan berkata, pihaknya terluka dengan tindakan meroboh kuil Hindu di Kampung Karuppiah, Padang Jawa oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).
Bagaimanapun, Sekretariat Akhbar Kerajaan Negeri Selangor menegaskan tindakan merobohkan kawasan setinggan itu sah mengikut Kanun Tanah Negara selepas mendapat permintaan pemilik tanah berkenaan.
Samy Velly yakin ahli MIC tidak melihat kes kuil itu sebagai satu isu, sebaliknya mengambil pendekatan kepada penyelesaiannya.
"Ahli MIC patuh kepada pucuk pimpinan parti berhubung isu itu. Jika mereka ada pandangan, mereka sampaikan kepada saya. Dalam parti ini, mereka menunggu Presiden menyelesaikan isu itu, bukan orang lain," katanya.
Beliau berkata, umat Islam menerima agama lain di negara ini, tetapi ada tindakan dibuat oleh setengah pihak yang menjadi punca kepada masalah berkenaan.
Mengenai rumah terbuka Deepavali, Samy Vellu berkata, ia akan diadakan seperti biasa termasuk sambutan peringkat kebangsaan.
|