Pembangunan koridor jana ekonomi menyeluruh
DATUK Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata pembangunan koridor ekonomi bukan saja akan menjana ekonomi negara yang lebih menyeluruh dan bersepadu malah turut menyumbang kepada usaha membasmi kemiskinan dengan lebih berkesan.
Perdana Menteri berkata, falsafah di sebalik pembangunan berkonsep koridor ekonomi itu adalah memastikan bahawa tiada golongan yang tertinggal daripada arus pembangunan negara.
“Sektor ekonomi yang kurang maju dan kawasan yang agak ketinggalan akan dibangunkan secara pesat, tanpa mengetepikan sektor atau kawasan lain,” katanya dalam ucapan dasar selaku Presiden Umno pada Perhimpunan Agung Umno 2007.
Beliau berkata, dengan berpaksikan konsep wilayah, pembangunan koridor ekonomi akan menambah punca pendapatan tambahan selain menjana pendapatan baru, manakala sumber kekayaan baru akan diusahakan.
“Semua rancangan pembangunan koridor ini bertujuan untuk mengubah nasib masyarakat di luar bandar supaya lebih sejahtera menikmati hasil kemakmuran,” katanya.
Abdullah berkata, koridor ekonomi adalah agenda nasional kerajaan tanpa mengambil kira pegangan politik kepartian.
“Ia bersifat nasional, berwajah nasional dan adalah bukti nyata akan kesungguhan usaha kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk membangunkan negara dan mensejahterakan kehidupan warga,” katanya.
Ramai anak Melayu, katanya sudah berjaya dalam bidang profesional masing-masing, dan berupaya mengendalikan urus niaga berdaya maju.
Oleh itu, beliau berkata tanggapan bahawa Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) di Johor akan memudaratkan orang Melayu dengan kemasukan pelabur asing, sebenarnya menjadi kalimah penghinaan terhadap keupayaan anak Melayu untuk bersaing di dunia global.
“Kepentingan warga Malaysia dan anak bangsa tidak akan kita gadaikan. Pelaburan yang akan kita tarik dari serata dunia akan merancakkan lagi arena pembangunan ekonomi, yang limpahannya akan turut dirasai oleh kita semua,” katanya.
Perdana Menteri berkata, kerajaan akan tetap memberikan bantuan dan galakan secukupnya agar orang Melayu dapat bersaing dan membabitkan diri dalam semua projek koridor pembangunan ekonomi.
Pembangunan koridor ekonomi itu juga akan memberi wajah baru kepada pertanian di Malaysia melalui perubahan secara struktural, terutama dari segi penyertaan orang Melayu dalam rantaian bekalan sektor itu.
Beliau berkata, sektor pertanian kini adalah lebih daripada hanya menanam untuk menghasilkan barangan mentah, iaitu satu komponen yang begitu berintensif buruh, menggunakan tenaga dan masa yang banyak tetapi menghasilkan pulangan yang minimum.
“Hari ini rantaian bekalan ini masih belum dikuasai oleh orang Melayu, jauh sekali dari kalangan petani Melayu,” katanya.
Perdana Menteri berkata kerajaan akan berusaha memastikan berlakunya penghijrahan dari pertanian tradisional kepada pertanian moden dengan menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan bioteknologi bagi memastikan sektor pertanian memberi pulangan yang lebih besar. - Bernama
|