Jadikan program pembangunan modal insan wadah perjuangan dalam Umno
PERDANA Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta setiap anggota Umno menjadikan program pembangunan modal insan sebagai suatu wadah perjuangan parti, keluarga dan diri sendiri.
Abdullah yang juga Presiden Umno berkata mereka juga perlu meletakkan sasaran untuk melahirkan barisan profesional dan teknokrat bangsa serta memastikan anak mereka berjaya ke institusi pengajian tinggi.
“Saya mahu melihat ahli Umno menjadikan pembangunan modal insan sebagai satu wadah perjuangan — sebagai satu jihad perjuangan parti, perjuangan keluarga dan perjuangan diri,” katanya menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Umno 2007.
Beliau berkata, satu lonjakan besar pembangunan modal insan sedang dilaksanakan yang berupaya meningkatkan produktiviti dan inovasi negara bagi memastikan negara mencapai status negara maju pada 2020.
Abdullah berkata, pembangunan modal insan yang berkualiti adalah amat kritikal dalam usaha negara membina daya saing dan mencapai matlamat pembangunan.
“Sebagai sebuah negara membangun, Malaysia menghadapi tekanan dan cabaran persaingan besar dalam abad ke-21. Dalam persekitaran ini, kejayaan memihak kepada mereka yang berjaya menambah nilai pada diri masing-masing,” katanya. - Bernama
|