Malaysia komited jadi pusat kewangan Islam utama, hab halal dunia

MALAYSIA akan terus mengambil langkah menjadi antara pusat kewangan Islam utama dunia, disamping komited untuk menjadi sebuah hab halal, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini.

Selain meliberalisasikan sektor kewangan Islam untuk menggalakkan penyertaan entiti asing dalam sektor perbankan, pasaran modal dan takaful Islam, beliau berkata kerajaan juga aktif mempromosikan perkhidmatan dan produk Halal Malaysia dan akan terus memperkukuhkan piawaian dan pensijilan Halal.

“Kejayaan memajukan sistem kewangan Islam hingga mendapat pengiktirafan dunia serta usaha membangunkan hab halal terkemuka, adalah antara obligasi yang tidak kurang pentingnya dengan tanggungjawab memenuhi tuntutan fardu ain,” kata Abdullah dalam ucapan dasar selaku Presiden Umno di Perhimpunan Agung Umno 2007.

Daripada segi pasaran modal Islam, Abdullah berkata kejayaan Malaysia terserlah dengan penguasaan dua pertiga daripada pasaran bon Islam atau Sukuk dunia yang bernilai AS$47 bilion.

“Selain itu, Malaysia juga sudah mempelopori penubuhan institusi seperti Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSB) dan Pusat Antarabangsa Pendidikan Kewangan Islam (Incieif),” katanya.

Abdullah berkata komitmen serius kerajaan untuk merintis dan menyelaras pelbagai inisiatif halal sudah dibuktikan melalui penubuhan Perbadanan Pembangunan Industri Halal.

Dengan saiz pasaran halal global bernilai RM2 trilion serta umat Islam di seluruh dunia yang berjumlah 1.8 bilion, warga Malaysia terutama umat Islam tidak harus terlepas mengambil peluang daripada industri halal yang menawarkan peluang niaga yang besar, katanya.

Abdullah berkata, umat Islam juga wajib melihat usaha mengangkat status dan penggunaan perkhidmatan dan produk halal sebagai memenuhi tuntutan fardu kifayah. - Bernama

Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768