Umno komited memartabatkan Islam
PRESIDEN Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata parti itu tetap komited dan sama sekali tidak akan bersikap apologetik terhadap usaha memartabatkan Islam.
Perdana Menteri berkata, beliau sudah menggariskan 10 prinsip Islam Hadhari dan pendekatan itu sudah difahami dan menerima sokongan parti komponen Barisan Nasional (BN).
“Ini menunjukkan pendekatan Islam yang dianjurkan Umno, berwajah sederhana - bersifat adil,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Umno 2007.
Beliau berkata, tuntutan untuk kembali kepada semangat yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan wajar dilihat secara positif dan ditafsirkan secara bijak tanpa prejudis.
“Perlembagaan harus dilihat dan ditafsir secara menyeluruh, dan bukan secara terpisah dan terasing dengan menumpukan kepada beberapa fasal tertentu saja.
“Perlembagaan memperuntukkan Islam adalah agama rasmi bagi persekutuan; tetapi agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai, di mana-mana,” katanya.
Abdullah berkata bersandarkan semangat Perlembagaan, warga Malaysia pelbagai agama hendaklah mengamalkan budaya saling menghormati satu sama lain.
Sambil memetik ayat 108, surah Al-An’aam, Abdullah berkata, Islam menyeru umatnya supaya menghormati penganut agama lain.
Beliau turut mengingatkan bahawa sesuatu tindakan ada tindak balasnya, dan sikap tidak menghormati mahupun ekstremisme di satu pihak, akan mencetuskan tindak balas yang sama di pihak lain.
“Keganasan di satu pihak akan membenihkan keganasan di pihak lain. Oleh itu jika kita mahu agama kita dihormati dan difahami, marilah kita di dalam Umno memperlihatkan contoh teladan yang terbaik dengan mengamalkan sikap menghormati penganut dan keperluan agama lain,” katanya.
Presiden Umno itu turut memberikan jaminan bahawa Umno sama sekali tidak merestui tafsiran dan amalan Islam secara sempit.
“Umno menentang sebarang budaya ganas, budaya politik yang mencetuskan kekacauan yang boleh mengganggu gugat urusan kehidupan dan urusan muamalat negara dan ummah,” katanya.
Abdullah berkata, Islam bukan milik mana-mana pihak, apatah lagi sebuah parti politik, dan meminta supaya Islam jangan disempitkan dengan mengaitkannya sebagai perjuangan sebuah organisasi politik.
Beliau turut menegur tindak tanduk keterlaluan dalam melaksanakan tugas penguatkuasaan dan menyifatkan tindakan seperti itu sebagai kurang bijak dan lebih memberikan imej negatif kepada Islam. - Bernama
|