Juhar dilantik pembantu Timbalan Pengerusi Tetap
KETUA Umno Batu Sapi, Datuk Juhar Mahiruddin menyifatkan pelantikannya sebagai pembantu kepada Timbalan Pengerusi Tetap, Datuk Badruddin Amiruldin bagi mempengerusikan Perhimpunan Agung Umno 2007 sebagai satu penghormatan kepada diri dan Badan Perhubungan Umno Sabah.
"Secara peribadi, ini satu tanggungjawab besar dan akan berusaha sebaik mungkin untuk membalas balik kepercayaan Majlis Tertinggi (MT). Saya berharap dapat menggunakan pengalaman sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bagi memastikan kelancaran perhimpunan sepanjang tiga hari persidangan," katanya.
Pelantikan Juhar diumumkan oleh Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad pada permulaan perhimpunan parti itu.
Ia susulan daripada pelantikan Badruddin sebagai pemangku Pengerusi Tetap, berikutan penyandangnya Tan Sri Onn Ismail uzur dan tidak dapat mempengerusikan perhimpunan kali ini. Pengumuman pelantikan Badruddin dibuat pada mesyuarat MT Umno.
Juhar, 54, juga berpengalaman mengendalikan perbahasan di Parlimen apabila dilantik sebagai Timbalan Speaker bermula pada 1990 hingga 1999. Beliau menyandang jawatan Speaker DUN Sabah bermula 2002 hingga sekarang.
|