Ahli Umno cecah 3.3 juta
UMNO kini mempunyai 3,325,995 ahli di 20,400 cawangan berdasarkan senarai terbaru yang dikumpul parti itu, kata Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad.
Beliau berkata, Johor masih menjadi negeri yang mempunyai ahli paling ramai, iaitu 459,191 orang, manakala bahagian paling ramai ahli ialah Kemaman dengan 40,758 dan cawangan Felda Air Tawar 2, Kota Tinggi mendahului keahlian peringkat cawangan paling ramai, iaitu 1,679 ahli.
Mohd Radzi berkata, sebanyak 18.4 peratus daripada ahli Umno belum mendaftar sebagai pemilih dan ibu pejabat parti sudah menghantar senarai mereka ke semua cawangan.
"Bagi ahli baru yang sudah mencapai 21 tahun, kita sudah mengarahkan mereka mendaftar sebagai pemilih," katanya ketika pembentangan laporan Setiausaha Agung pada Perhimpunan Agung 2007.
Seramai 67 delegasi asing yang mewakili 27 parti dari 20 negara hadir pada perhimpunan tahun ini, manakala 68 kelab Umno luar negara menghantar 63 wakil.
Beliau berkata, 73 agensi media cetak dan elektronik membabitkan 57 media tempatan dan 16 media luar negara serta 1,182 wartawan membuat liputan perhimpunan sejak Ahad lalu.
|