Abdullah mahu GLC juarai keupayaan Bumiputera
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menerajui usaha membantu meningkatkan keupayaan dan kredibiliti syarikat dan individu Bumiputera.
Beliau berkata GLC hendaklah sama-sama mengambil tanggungjawab, mendukung wawasan kerajaan terutamanya usaha melahirkan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera, mewujudkan sistem vendor dan menjalinkan program usaha sama secara berkesan dengan syarikat Bumiputera.
“Sebagai syarikat berkaitan kerajaan, GLC wajib menghayati aspirasi negara, aspirasi bangsa,” kata Abdullah dalam ucapan dasar selaku Presiden Umno pada Perhimpunan Agung Umno 2007 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Abdullah berkata GLC harus berperanan sebagai pemangkin untuk membolehkan berlakunya proses pemindahan teknologi asing kepada syarikat tempatan dan syarikat Bumiputera dalam melaksanakan sesuatu tugasan.
“Saya berbangga dengan kejayaan GLC. Saya akan lebih berbangga apabila GLC turut berperanan aktif, memperbesarkan masyarakat perdagangan dan perindustrian Bumiputera dan mempercepatkan proses pemindahan teknologi kepada syarikat tempatan,” katanya.
Perdana Menteri berkata matlamat mencapai sasaran keuntungan dengan wawasan membangunkan ekonomi Bumiputera tidak seharusnya berlaku sebarang percanggahan dan tidak ada sebab syarikat dan individu tempatan harus disisihkan kerana pada hari ini sudah banyak syarikat dan individu Bumiputera memiliki kemahiran dan keupayaan.
Katanya, kejayaan GLC akan menjadi lebih lengkap apabila berupaya mengimbangkan usaha dengan merealisasikan program pembangunan ekonomi dan program pembangunan sosioekonomi bumiputera.
“Tidak seharusnya keistimewaan dan keyakinan diutamakan kepada syarikat-syarikat atau pakar-pakar dari luar negara sahaja,” katanya.
Abdullah berkata kejayaan GLC selepas melaksanakan program transformasi pada tahun 2004 amat memberangsangkan dan telah menyebabkan nilai pasaran saham 20 GLC terkemuka meningkat 74 peratus dan mencecah nilai RM253 bilion, sekaligus membawa impak ketara kepada prestasi Bursa Malaysia.
“Kejayaan yang diperlihatkan oleh GLC telah meningkatkan keyakinan pelabur di dalam dan di luar negara,” tambah beliau.
Abdullah berkata, amalan korporat yang lebih baik juga bukan hanya memberi manfaat kepada GLC, malah ia turut memberi faedah kepada para pemegang saham utama mereka seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Lembaga Tabung Haji dan Permodalan Nasional Berhad.
Ini secara tidak langsung memberikan limpahan kepada rakyat dalam bentuk dividen dan bonus, katanya. - Bernama
|