Jangan ungkit hak Melayu, kata Abdullah

DATUK Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan bahawa perkara asas berhubung kesucian agama, kepercayaan dan amalan dan kepentingan orang Melayu seperti yang dipersetujui dalam Perlembagaan Persekutuan tidak harus diungkit lagi.

Perdana Menteri yang juga Presiden Umno ketika menyampaikan ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung Umno 2007 berkata perkara asas yang sudah dipersetujui sewaktu Perlembagaan Persekutuan digubal, adalah perkara yang tidak boleh dirundingkan lagi.

“Umno tidak mengamalkan sifat lidah bercabang, Umno tidak bernada lain di hari siang, di hari malam, Umno bukan makhluk dua alam, makhluk yang bertukar warna berasaskan suasana. Umno bersedia duduk semeja, mencari penyelesaian bijak, melalui formula sama-sama menang, menangani isu sensitif kaum dan isu yang menyentuh agama.” katanya.

Abdullah berkata bagi membolehkan isu sensitif dapat ditangani secara berkesan, perbincangan mencari penyelesaian kaum sesuai dilakukan melalui forum tertutup.

“Isu-isu menyentuh sensitiviti agama dan isu perkauman perlu ditangani secara objektif, secara rasional dan secara matang.

“Umno dan rakan-rakan dalam Barisan Nasional jangan sekali-kali terperangkap dalam isu agama dan isu perkauman yang dicetuskan oleh parti pembangkang. Kita adalah parti yang menguasai kerajaan, kita adalah parti yang didukung kuasa eksekutif, kita tidak harus merendahkan kedudukan kita, melatah (apabila) dicucuk pembangkang,” katanya.

Abdullah juga meminta kaum lain di negara ini supaya memahami sensitiviti orang Melayu.

“Kita sudah 50 tahun merdeka, kini insan yang lahir ini adalah anak Malaysia, mereka adalah warga Malaysia. Mereka besar dan dewasa dengan hanya mengenal negara ini. Mereka berpijak di bumi Malaysia dan menjunjung langit Malaysia. Bukan lagi masanya untuk kita mendendangkan lirik berasaskan kaum,” katanya.

Abdullah berkata pada perhimpunan Umno tahun lalu, yang membenarkan media membuat siaran langsung perbahasan pertama kalinya, sebilangan kecil pembahas mungkin menyinggung perasaan kaum lain, namun majoritinya mengulas isu daripada perspektif nasional.

“Saya percaya nada ekstrim juga disuarakan oleh ahli dalam parti politik yang dikuasai kaum lain, namun dalam semangat membina sebuah negara yang rukun lagi bersatu, konsensus majoriti berasaskan kesederhanaan dan semangat menghormati perlu diutamakan,” katanya.

Abdullah turut menjelaskan bahawa perbuatan menghunus dan mengucup keris adalah sebahagian daripada adat warisan pusaka bangsa Melayu.

“Keris bukan senjata untuk digunakan terhadap kawan, tetapi senjata untuk membela diri dan kawan. Namun ia ditakrif secara sempit, secara negatif, orang bukan Melayu ditakutkan, malah turut digemakan oleh kumpulan tertentu di luar negara bertujuan memburukkan imej Umno dan Malaysia,” katanya.

Abdullah memberi jaminan bahawa Umno sama sekali tidak akan melanggar semangat perjanjian merdeka yang dipersetujui bersama kaum lain.

Peluang yang ada di Malaysia, katanya adalah terbuka kepada setiap warga Malaysia.

Abdullah berkata hubungan harmoni antara kaum dan pelbagai agama di negara ini bukanlah satu opsyen tetapi satu kemestian.

“Kita tiada pilihan lain. 50 tahun lalu, perjuangan menuntut kemerdekaan dipermudahkan kerana kebijaksanaan Tunku Abdul Rahman dan barisan pemimpin seangkatan dalam Perikatan memperkenalkan konsep perkongsian kuasa,” katanya.

Abdullah juga menekankan bahawa usaha memelihara keselamatan negara sekalipun ialah tanggungjawab kerajaan, ia akan lebih berkesan jika mendapat komitmen penuh rakyat seluruhnya.

“Hari ini masyarakat sedang berhadapan dengan beberapa kebimbangan, antaranya kejadian jenayah, hubungan antara agama dan hubungan antara kaum,” katanya.

Dalam hubungan ini peranan media penting untuk sama-sama membantu meningkatkan kesedaran rakyat untuk sama-sama memelihara keselamatan negara, tegas beliau. - Bernama

Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768