Keluarkan pemikiran yang meracun minda Melayu

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta orang Melayu mengeluarkan pemikiran yang meracun minda mereka termasuk perasaan bimbang, takut dan terancam, yang telah tertanam dalam minda mereka sejak era penjajahan.

“Merasa diri kecil, merasa rendah diri, merasa gentar, merasa kurang upaya, adalah pemikiran beracun yang telah disuntik ke dalam minda Melayu — bermula dari era penjajahan.”

“Racun minda ini perlu dikeluarkan supaya Melayu berminda segar — berfikiran berani. Melayu, bila diberikan bimbingan yang betul dan diberikan peluang yang saksama, sebenarnya telah sedia bersaing,” katanya dalam ucapan dasar selaku Presiden Umno pada Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Beliau berkata selagi orang Melayu berfikiran kecil, selagi itulah mereka akan berasa gentar apabila berhadapan dengan perkataan meritokrasi.

Setelah 50 tahun mencapai kemerdekaan katanya, ramai di kalangan orang Melayu mempunyai jiwa yang merdeka bersedia untuk bekerja keras dan bersaing di peringkat global.

“Hari ini jangan diperkecil daya upaya Melayu, jangan direndahkan kapasiti Melayu,” katanya sambil menambah, bangsa Melayu akan terus diperlengkapkan untuk mencapai lebih banyak kegemilangan pada 50 tahun akan datang.

Abdullah berkata, Tuhan tidak menciptakan umat Melayu untuk menjadi lemah dan kurang bijak daripada keturunan-keturunan lain.

“Warga Malaysia pertama yang sampai ke angkasa bernama Sheikh Muszaphar; dia beragama Islam ; dia keturunan Melayu; dia dipilih dari kalangan calon pelbagai kaum oleh panel pemilih di Rusia,” kata beliau.

Perdana Menteri juga mahu diwujudkan satu masyarakat Melayu yang berpandangan kritikal, berpendidikan tinggi dan menguasai kemahiran tinggi, bertujuan memastikan mereka berupaya memberikan sumbangan yang lebih berkesan di dalam pelbagai sektor ekonomi.

Melayu yang berkeupayaan katanya, akan berupaya melihat Dasar Ekonomi Baru (DEB) daripada kaca mata yang tidak lagi menimbulkan keresahan kaum-kaum lain.

“Melayu harus menjaguhi pencapaian matlamat Dasar Ekonomi Melayu (DEB), memastikan komposisi kumpulan profesional dan kumpulan menengah Melayu lebih seimbang dan masyarakat Malaysia tidak lagi dipisahkan berlandaskan profesion,” katanya.

Abdullah menepis pandangan salah bahawa DEB bertujuan merampas hak mana-mana warga Malaysia kerana sejak dasar itu dilaksanakan 37 tahun lepas, tidak pernah berlaku keadaan kerajaan merampas kekayaan daripada bukan Melayu untuk menjadi orang Melayu kaya.

“Malah kekayaan bukan Melayu terus meningkat,” kata beliau sambil menambah, kekayaan bukan Melayu di negara ini terus meningkat dan senarai warga terkaya di Malaysia masih didahului oleh bukan Melayu.

Perdana Menteri turut mengingatkan semua pihak supaya tidak terlepas pandang terhadap usaha pembasmian kemiskinan dalam keghairahan melaksanakan usaha untuk menseimbangkan penyertaan antara kaum dalam sektor swasta dan awam.

Katanya, negara tidak akan tenteram jika bilangan rakyat yang miskin masih tinggi dan menjadi punca kepada ketidakstabilan politik, demonstrasi jalanan, kadar jenayah yang tinggi dan masalah sosial yang besar.

Perdana Menteri berkata program pembasmian kemiskinan diberikan tumpuan yang intensif dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

“Semoga dalam tempoh masa yang tidak terlalu lama, bumi Malaysia, perkataan miskin hanya tinggal sebagai satu istilah yang terkandung di dalam kamus,” kata Abdullah.

Beliau berkata wakil-wakil rakyat Barisan Nasional (BN) diwajibkan untuk meletakkan keutamaan kepada agenda membasmi kemiskinan, malah kejayaan mengatasi masalah itu akan dijadikan petunjuk utama prestasi wakil rakyat di kawasan masing-masing. - Bernama

Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768