Sistem penyampaian perkhidmatan awam akan terus ditingkatkan

DATUK Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan bahawa kerajaan akan terus melakukan penambahbaikan dan meningkatkan kecekapan dan sistem penyampaian dalam Perkhidmatan Awam.

Perdana Menteri yang juga Presiden Umno ketika menyampaikan ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung Umno 2007, berkata perkhidmatan awam dilihat berperanan penting sebagai jambatan penghubung berkesan antara kerajaan dan rakyat, menterjemahkan wawasan kepada tindakan.

“Sudah tentu masih terdapat kelemahan yang perlu diatasi bagi membolehkan kita mencapai kejayaan lebih cemerlang, tetapi yang penting, kini wujud azam untuk melaksanakan perubahan dan juga kesediaan untuk melakukan pembetulan,” katanya pada perhimpunan yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini.

Abdullah berkata antara langkah ke arah meningkatkan mutu perkhidmatan sektor awam ialah memperkenalkan sistem kontrak dan Petunjuk Utama Prestasi (KPI) dalam urusan lantikan Ketua Setiausaha kementerian dan ketua jabatan utama bagi meningkatkan tahap akauntabiliti perkhidmatan itu.

“Kerajaan menghargai peranan penting perkhidmatan awam, atas hasrat tersebut, kerajaan telah mengumumkan kenaikan gaji kakitangan awam. Kenaikan gaji kakitangan awam membabitkan peruntukan emolumen tambahan berjumlah RM8 bilion setahun. Namun kerajaan mentakrifkannya sebagai satu pelaburan jangka panjang,” katanya.

Abdullah berkata beberapa langkah penambahbaikan yang telah diperkenalkan sebelum ini juga telah menunjukkan hasil yang baik.

“Berikutan penubuhan skuad pemprosesan khas, 98 peratus dari kes urusan tanah tertunggak sejak 2001 telah dapat diselesaikan.

“Kini, urusan cukai boleh dijalankan melalui internet dan pulangan kredit kepada pembayar cukai menerusi sistem E-Filing, telah dapat dipendekkan tempohnya, pasport dan kad pengenalan kini boleh disiapkan pada hari yang sama, pelan bangunan kini diluluskan dalam tempoh 142 hari, sijil perakuan siap dan pematuhan (CCC) dikeluarkan dalam masa 134 hari, berbanding tempoh berbulan dan bertahun di masa dahulu,” katanya.

Abdullah berkata penubuhan Pasukan Petugas Khas Pemudah Cara Perniagaan (Pemudah) juga telah berjaya memperbaiki perkhidmatan tertentu, terutama yang mempunyai impak langsung bagi meningkatkan daya saing urus niaga.

“Respons kepada Laporan Ketua Audit Negara nyata memperlihatkan satu perubahan dinamik sedang berlaku. Ia jelas menunjukkan kesediaan badan-badan yang bertanggungjawab untuk memantau dan menguatkuasakan undang-undang,” katanya.

Beliau berkata kerajaan berpendirian bahawa laporan sedemikian dapat membantu usaha ke arah menjadikan sektor awam lebih cekap dan berintegriti.

“Saya gembira dengan tindakan pantas Badan Pencegah Rasuah dalam hal ini, saya pasti ramai kakitangan perkhidmatan awam menyokong tindakan-tindakan yang dapat memelihara nama baik serta integriti profesion mereka,” katanya.

Kepada kakitangan awam, Abdullah mahu mereka terus memberikan yang terbaik: “Saya menyeru supaya perkhidmatan awam sentiasa insaf bahawa mereka wujud untuk berkhidmat kepada rakyat.” - Bernama

Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam Internet Explorer dengan resolusi 1024 x 768