? BAGAIMANA cara seseorang yang mengerjakan Haji Tamattuk boleh melakukan Tawaf Qudum.
Jemaah yang mengerjakan Haji Tamattuk boleh melakukan Tawaf Qudum apabila mereka selesai. Umrahnya mereka keluar ke miqat untuk berniat haji dan selepas itu masuk balik ke Makkah dan di sini mereka disunatkan Tawaf Qudum.
? Seorang jemaah berihram umrah dalam bulan haji untuk orang lain, kemudian dia mengerjakan haji untuk dirinya sendiri pada tahun sama dan berihram umrah selepas haji, adakah dikira Haji Ifrad.
Hajinya adalah Haji Tamattu' dan dia dikenakan Dam Tamattu'.
? Apakah pengertinya ihram dalam haji.
Ihram ertinya berniat mengerjakan haji atau umrah atau kedua-duanya. Dengan niat berkenaan seseorang itu terlarang daripada melakukan perkara larangan di dalam ihram.
? Apa yang wajib dibuat oleh orang yang hendak mengerjakan Haji Ifrad manakala sampai di miqat.
Wajib dia memakai ihram sekiranya belum memakainya dan berniat ihram haji.
? Apa yang wajib dibuat oleh orang yang hendak mengerjakan Haji Tamattu' manakala sampai di miqat.
Wajib dia memakai ihram sekiranya belum memakainya dan berniat ihram umrah.
? Apa yang wajib dibuat oleh orang yang hendak mengerjakan Haji Qiran apabila sampai di miqat.
Wajib dia memakai ihram sekiranya belum memakainya dan berniat ihram haji dan umrah bersekali/serentak.
? Bolehkah melafazkan niat beramai-ramai dengan diketuai oleh ketua
kumpulan.
Melafazkan niat beramai-ramai dengan diketuai oleh ketua kumpulan tidak salah, tetapi niat hendaklah ada di dalam hati masing-masing.
? Bagi jemaah haji di Madinah, di manakah lebih afdal untuk berniat ihram di Rumah Zon atau Bir Ali.
Berniat ihram di Bir Ali lebih afdal daripada berniat ihram di Rumah Zon kerana mengikut amalan Rasulullah SAW.
? Jemaah haji lelaki sebelum Tahallul Umrah memakai kain sarung yang tidak disarungkan ketika mandi, adakah dikenakan dam.
Hukum memakai kain sarung yang tidak disarungkan ketika mandi dibolehkan walaupun ia masih dalam ihram.
? Adakah pakaian ihram berwarna putih itu sunat untuk kedua-dua lelaki dan wanita atau sunat untuk lelaki saja. Ia kerana dilihat ramai jemaah haji wanita dari negara Asia Barat memakai pakaian berwarna hitam.
Sunat memakai pakaian ihram berwarna putih untuk lelaki mahupun perempuan.
? Ketika di dalam ihram haji, jemaah perempuan bermimpi bersama suami sehingga keluar air mani. Bagaimana hajinya.
Bermimpi tiada menjejaskan hajinya. Dia wajib mandi mengangkat hadas besar kerana keluar air mani. Dia tidak dikenakan dam.
? Jemaah Haji Tamattu' setelah wukuf bermalam di Muzdalifah, Mina dan melontar jamrah balik ke Makkah Nafar Thani. Selepas solat Isyak tertidur. Dalam tidur dia bermimpi bersetubuh dan keluar mani. Bangun tidur didapati ada kesan air mani di pakaiannya. Dia pun mandi hadas besar, kemudian ke masjid lalu tawaf serta sai diikuti solat Subuh. Apakah hukum hajinya.
Hajinya sah. Dia tidak dikenakan dam kerana hanya mimpi bersetubuh walaupun keluar air mani.
? Jemaah memakai kasut di kaki yang sihat dalam masa ihram kerana hendak mengimbangkan kasut yang dipakai di kaki palsu. Apakah kasut ihramnya.
Jemaah haji memakai kasut di kaki yang sihat atas tujuan mengimbangkan kasut yang dipakai pada kaki palsunya adalah harus berbuat demikian tetapi dikenakan dam dan ia tidak berdosa.
? Apakah hukumnya memakai semula kain ihram yang ada bau-bauan pada masa ihram.
Memakai semula kain ihram yang ada bau-bauan di dalam masa ihram hukumnya haram dan dikenakan dam.
? Berapa lamakah masa yang dibolehkan memakai pakaian ihram selepas
mandi sunat ihram.
Jemaah haji disunatkan mandi sunat ihram iaitu yang disertai selepasnya memakai pakaian ihram kerana mandi untuk membersihkan badan. Bagaimanapun, sekiranya jarak masa mandi dengan memakai pakaian ihram itu tidak begitu lama kira-kira tidak menjejaskan keadaan kebersihan badan, maka dibolehkan.
Jawapan disediakan Bahagian Bimbingan, Lembaga Urusan haji.
Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights
reserved. Emel
kami sebarang maklum balas.