? ADAKAH sah haji badal orang yang diupah hajinya ketika berniat
disebutkan nama saja tanpa binnya?
Sah hajinya selagi diniatkan haji itu untuk orang yang ditentukan.
Adakah disyaratkan izin untuk mengerjakan ibadat haji bagi ibu bapa
uzur yang tiada harapan sembuh atau tua yang tidak berdaya atau meninggal
dunia?
Masalah izin untuk mengerjakan haji bagi ibu bapa adalah seperti
berikut:
1. Jika ibu bapa uzur yang tiada harapan sembuh atau tua yang tiada
berupaya bagi mengerjakan haji maka disyaratkan izinnya.
2. Jika ibu bapa itu meninggal dunia dan sudah mengerjakan haji fardu,
disyaratkan wasiatnya mengikut pendapat yang Al-Asah (yang kuat).
3. Jika ibu bapa itu sudah meninggal dunia dan belum mengerjakan haji
fardu, tiada disyaratkan izinnya.
Rujuk: Al Majmu' juzuk 7 muka surat 112 dan 113 Manasikul Haj muka
surat 109
? Seorang anak hendak membuat haji badal bapanya yang lumpuh dan tiada
harapan sembuh. Wajibkah dia meminta izin bapanya terlebih dulu?
Ya, wajib dia mendapatkan izin bapanya terlebih dulu.
? Bolehkah seorang bapa ibu tolong mengerjakan umrah anaknya yang
sedang sakit di hospital dan dia berniat ihram haji tamattu'?
Tidak boleh. Dia dikehendaki menyempurnakan sendiri tawaf umrah dan
saie dengan menggunakan usungan atau kereta sorong atau menunggu
keadaannya sihat, atau boleh juga dia berniat haji Qiran apabila hendak
ke Arafah kalau belum tawaf umrahnya.
? Di atas nama siapa dam upah haji dilaksanakan? Adakah dinamakan
dengan nama orang mengupah atau mengambil upah?
Bayaran dam dibuat atas nama orang yang mengambil upah (orang yang
mengerjakannya).
? Apakah hukum dan perbezaan membayar upah haji melalui cek atau kad
kredit?
Diharuskan membayar upah haji dengan cek atau kad kredit dengan
keredaan kedua-dua belah pihak.
? Apakah hukum seorang yang berniat ihram haji bagi dirinya dan sebelum
mengerjakan rukun haji yang lain, beliau mengubah pula niatnya kepada
mengerjakan haji untuk orang lain sebagai badal haji?
Tidak boleh kerana dia berniat ihram untuk dirinya.
? Seorang jemaah haji berniat haji di dalam bas sebelum bertolak ke
Arafah, kemudian teringat dia diamanahkan mengerjakan haji untuk orang
lain lalu dia pun berniat sekali lagi untuk orang yang dihajikannya itu.
Adakah sah haji badal itu?
Apabila seseorang itu berniat ihram haji untuk dirinya, maka dia tidak
dibolehkan lagi berniat ihram haji untuk orang lain. Jika dilakukan tidak
sah haji badal itu, bahkan haji yang dikerjakannya itu adalah untuk
dirinya.
? Adakah perlu bagi orang yang mengambil upah haji berniat mandi sunat
ihram khusus untuk pengupah haji?
Orang yang mengambil upah haji tidak perlu berniat mandi sunat ihram
khusus untuk pengupah haji.
? Adakah boleh seseorang itu mengerjakan upah haji lebih daripada
seorang?
Mengerjakan haji dibolehkan untuk seorang saja bagi satu musim haji.
Menerima upah haji lebih daripada seorang untuk diserahkan kepada orang
lain bagi melaksanakannya diharuskan.
? Adakah wajib seseorang yang sudah sembuh daripada sakit lumpuh
mengerjakan haji sedangkan ketika sakitnya ia mengupah orang lain
mengerjakan haji untuknya?
Jemaah haji yang mengupah hajinya pada waktu lumpuh, wajib mengerjakan
semula haji jika berkemampuan.
? Adakah dibolehkan seseorang yang sudah mengerjakan haji ketika belum
baligh mengerjakan haji untuk orang lain selepas dia baligh?
Tidak boleh kerana dia belum menunaikan haji fardu bagi dirinya.
Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights
reserved. Emel
kami sebarang maklum balas.