? SESEORANG meninggal dunia sebelum mengerjakan haji sedangkan pada masa
hayatnya ia berkuasa, adakah wajib dilakukan haji daripada hartanya?
Wajib dihajikan daripada hartanya sebelum dibahagikan kepada waris sama
ada ia berwasiat atau tiada.
? Bolehkah diwakilkan haji bagi seseorang yang sudah meninggal dunia?
Apakah dalilnya?
Boleh. Dalilnya ialah hadis yang diriwayatkan daripada Buraidah, beliau
berkata: "Sudah datang seorang perempuan kepada Nabi dan berkata:
Sesungguhnya ibu hamba meninggal dunia pada hal dia tidak mengerjakan
haji lagi. Adakah hamba menghajikan untuknya? Sabda Rasulullah: "Ya,
hajikanlah untuknya."
? Apakah syarat bagi orang yang menerima wakil untuk mengerjakan haji
orang lain yang diwakilnya?
Syaratnya seperti berikut:
1. Orang yang menerima wakil itu sudah menunaikan fardu haji bagi
dirinya sendiri dengan sempurna.
2. Hendaklah penerima wakil itu melakukan haji itu untuk seorang saja
bagi satu-satu musim haji.
3. Ia hendaklah berihram di miqat orang yang hendak dihajikannya atau
pada tempat yang sama jauhnya dengan miqat itu. Jika ditentukan miqatnya
untuk berihram hendaklah ia berihram pada miqat yang ditentukan itu.
Jika tidak ditentukan mana-mana miqat maka harus bagi orang yang
mengambil upah haji itu berihram pada mana-mana miqat yang dilaluinya.
Bagi penduduk Makkah, sama ada bermastautin atau bermukim yang
mengambil upah haji, wajib ia keluar ke miqat orang yang dihajikannya
atau boleh juga di mana-mana miqat yang lebih hampir kepadanya.
Jika ia berihram pada miqatnya di Makkah nescaya ia berdosa dan wajib
ia membayar dam. Inilah qaul yang muktamad di sisi Sheikh Ibni Hajar dan
Sheikh Ramli.
Pendapat Al-Jamal at Tabari adalah diharuskan orang Makkah itu berihram
di Makkah dengan tiada dikenakan dam dan tidak dikurangkan upahnya.
4. Ia hendaklah seorang yang cukup keahlian bagi mengerjakan ibadat
haji itu dengan sempurnanya.
? Bagaimana seseorang yang uzur kerana sakit yang tiada harapan sembuh
atau terlalu tua hendak mewakilkan kepada orang lain untuk mengerjakan
haji bagi dirinya?
Caranya adalah seperti berikut:
1. Hendaklah ia mendapatkan seseorang yang cukup syarat bagi menerima
wakil mengerjakan haji untuknya.
2. Mewakilkan kepada orang itu untuk mengerjakan haji bagi dirinya
dengan ijab dan kabul seperti berikut: "Aku mewakilkan akan dikau untuk
mengerjakan fardu haji bagi diriku."
Jawab penerima wakil: "Aku terima wakil untuk mengerjakan fardu haji
bagi dirimu", yang lebih baik dilakukan lafaz ijab dan kabul ini dengan
cara ju'alah seperti ia berkata: "Aku meletakkan tanggungan di atas
zimmahmu bagi menghasilkan haji diriku." Jawab penerima: "Aku terima."
3. Mewakilkan orang lain untuk mengerjakan haji itu boleh dilakukan
dengan upah yang dipersetujui oleh si penerima wakil atau dengan secara
sukarela.
? Seorang perempuan yang mengalami kecederaan tulang belakang (beliau
sudah menjalani pembedahan) mengupah seorang (ustaz) untuk menghajikannya
pada 1417 Hijrah) sedangkan beliau boleh berjalan walaupun tidak berapa
kuat kerana ustaz itu memberitahunya boleh menghajikan orang yang masih
hidup dengan syarat ia mengidap penyakit. Oleh kerana perkara ini telah
berlaku, adakah sah haji badalnya?
Tidak sah haji badalnya itu, kerana ia bukan dalam sakit yang putus asa
daripada baik dan ia masih mempunyai kemampuan untuk mengerjakan haji
bagi pihak dirinya.
Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights
reserved. Emel
kami sebarang maklum balas.