Dilarang tunai haji ketika edah suami mati
? ADAKAH wajib seseorang perempuan menunaikan fardu haji dengan seorang
diri saja.
Tidak, dia disyaratkan pergi bersama-sama suami atau mahramnya atau
perempuan yang "thiqah" iaitu yang dipercayai sekurang-kurangnya dua
orang dan dia tidak berada di dalam edah.
Tetapi, harus baginya pergi dengan seorang perempuan thiqah atau
seorang diri sekiranya yakin terjamin keselamatan dirinya.
? Adakah perempuan mesti meminta izin daripada suaminya untuk
menunaikan haji.
Dia dikehendaki meminta izin daripada suaminya, jika tidak diizinkan
boleh juga pergi dan sah hajinya, tetapi berdosa kerana melanggar izin
suami.
Sebaik-baiknya suami tidak melarang isterinya daripada menunaikan
hajinya.
? Sepasang suami isteri bercadang mengerjakan haji bersama-sama, tetapi
suami hendak ihram Tamattu' manakala isteri ihram Ifrad. Adakah wajib
isteri meminta izin daripada suami sebelum ihram.
Ya, wajib.
? Adakah isteri perlu meminta izin suaminya yang pergi bersama-sama
sekiranya beliau hendak berihram secara bersyarat.
Tidak perlu.
? Seorang perempuan diizinkan suaminya pergi menunaikan haji, tetapi
sebelum pergi, suaminya meninggal dunia. Adakah beliau boleh pergi
menunaikan haji dalam masa edah mati itu.
Tidak boleh. Ini kerana perempuan yang masih dalam edah kematian suami
tidak dibenarkan oleh syarak meninggalkan rumah.
? Seorang perempuan yang masih di dalam edah talak raj'e, adakah
diwajibkan meminta izin daripada bekas suaminya untuk menunaikan haji.
Ya, wajib meminta izin.
? Apakah hukum jemaah haji perempuan menunaikan haji sunat yang
ditemani oleh perempuan thiqat.
Tidak diharuskan bagi orang perempuan menunaikan haji sunat bersama
dengan teman-teman perempuan yang thiqat, tetapi yang dibolehkannya
adalah bagi haji yang wajib saja mengikut qaul yang asah. Mengikut qaul:
(Rujukan: Tuhfatul Muhaj, Juzuk 4 m/s 25. Al Fiqh `Alal Mazahib Al
Arba'ah Juzuk 1 m/s 636 dan manasikul Haj m/s 103)
Maqabilul Asah, harus bagi seorang perempuan menunaikan haji sunat/
umrah sunat tanpa mahram dengan syarat:
1. Memastikan tidak ada fitnah dan keselamatan diri terjamin ketika
dalam perjalanan haji atau umrahnya.
2. Jika dia bernazar mengerjakan haji secara tabarrur dan hendaklah
nazar itu bukan alasan yan diada-adakan untuk menunaikan haji.
Bagaimanapun, mengikut satu wajah yang diaf adalah diharuskan.
(Rujuk : Al-Majmuk juzuk 6 muka 65)
? Apakah hukum seorang isteri yang kematian suaminya dalam masa
perjalanan bersama menuju ke Makkah. Bolehkah dia terus ke Makkah untuk
mengerjakan hajinya.
Jemaah haji yang kematian suaminya dalam perjalanan ke Makkah adalah
harus baginya meneruskan ke Makkah untuk menunaikan hajinya.
Jika dia tidak berupaya untuk berpatah balik, tetapi jika dapat
berpatah balik maka wajib di atasnya balik semula.
(Rujukan: Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Ibadat haji (TH Pusat Islam)
1/1422 hijrah bersamaan 16 April 2001.
Setiap bakal jemaah perlu peka dengan peraturan dan larangan sebelum ke
tanah suci, agar ibadat mencapai kesempunaan.
Jawapan disediakan Bahagian Bimbingan Haji, Lembaga Tabung Haji
|