Halal haram sumber kewangan pergi haji
? ADAKAH wajib haji di atas orang yang ada mempunyai rumah lebih daripada secukupnya (hajatnya), tetapi dia tidak ada wang untuk perbelanjaan haji.
Mengikut Mazhab Syafie orang yang sedemikian wajib ke atasnya
mengerjakan haji. Dia wajib menjual rumah yang lebih daripada hajatnya
untuk perbelanjaan menunaikan fardu hajinya.
? Saya mempunyai dua rumah, sebuah untuk kediaman saya dan sebuah lagi
disewakan. Oleh kerana tidak mempunyai wang simpanan, saya cagarkan rumah
sewa saya sejumlah RM60,000. Sebanyak RM20,000 saya gunakan untuk
menunaikan fardu haji dan baki RM40,000 saya bayar balik kepada bank,
baki yang lain saya bayar secara ansur melalui wang sewa rumah itu.
Adakah diharuskan saya pergi haji secara begini.
Jika berhutang atau wang cagaran itu yang berkait dengan syarat riba
atau bunga adalah haram dan pemergian hajinya adalah dengan saluran
haram.
? Bagaimanakah pula kalau seseorang itu ada mempunyai perniagaan. Adakah wajib ia membelanjakan wang perniagaannya untuk haji?
Mengikut qaul Imam Syafie yang kuat, wajib dia mengeluarkan
perbelanjaan hajinya daripada wang perniagaannya, sekalipun langkah itu
menghabisi modal perniagaannya.
Mengikut satu qaul yang lain tidak wajib yang demikian itu supaya tidak
jatuh kepada kemiskinan.
? Bagaimana jika seseorang yang ada wang yang mencukupi untuk
perbelanjaan haji, tetapi dia juga ingin berkahwin.
Jika keinginan kahwinnya itu telah meningkat sekira-kira kalau dia
tidak berkahwin boleh sampai melakukan zina, maka hendaklah dia
mendahulukan kahwin daripada haji. Sebaliknya, jika keadaan tidak
sedemikian, maka haji hendaklah didahulukan.
? Apa hukum menunaikan haji dengan wang haram.
Sah hajinya dengan wang yang haram tetapi berdosa. Pendapat Imam Ahmad
pula tidak sah berdasarkan hadis bermaksud: "Bahawa Allah itu baik
(bersih) tidak menerima melainkan yang baik (bersih)."
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda
bermaksud: "Jika seseorang keluar untuk menunaikan fardu haji dengan
nafkah yang baik (halal) dan ketika meletakkan kakinya pada tali sandang
(tempat berpijak untuk menaiki tunggangan atau kenderaan) maka menyerulah
ia.
Maka disambut oleh yang menyeru dari langit. Maksudnya : "Seruan kamu
diterima dan bahagialah kamu, bekalan kamu itu halal, kenderaan atau
tunggangan kamu halal dan haji kamu haji Mabrur (tidak ditolak)."
Sebaliknya, jika seseorang keluar menunaikan haji dengan perbelanjaan
yang haram dan kotor dan meletakkan kakinya di tali sandang untuk naik ke
atas tunggangan atau kenderaannya, manakala dia bertalbiah, maka disambut
oleh yang menyeru dari langit.
Maksudnya: "Tidak diterima seruanmu dan tidak ada kebahagiaan bagi
kamu, bekalan kamu haram, perbelanjaan kamu haram, haji kamu ditolak,
tidak ada pahala dan tidak ada ganjaran bagimu."
? Adakah sah haji seseorang yang menggunakan wang pampasan insurans.
Menggunakan wang pampasan insurans untuk menunaikan haji adalah sah
hajinya.
? Apakah hukum hajinya dengan menggunakan wang daripada keuntungan
pelaburan dalam Amanah Saham Nasional (ASN).
Jemaah haji yang menggunakan wang daripada keuntungan pelaburan ASN sah
hajinya.
Jawapan disediakan Bahagian Bimbingan Haji, Lembaga Tabung Haji
|