Mumaiyiz tetap wajib haji selepas baligh
? Apakah perbezaan di antara dua haji dan umrah.
Haji pada syarak ialah mengunjungi Baitullah Al Haram dalam bulan haji
kerana mengerjakan tawaf, sai dan wukuf di Arafah dengan menurut syarat
serta menunaikan segala rukun dan wajibnya.
Umrah pada syarak ialah menziarahi Baitullah Al Haram pada bila-bila
masa kerana mengerjakan tawaf dan sai dengan menurut syarat serta
menunaikan segala rukun dan wajibnya.
Perbezaan jelas antara kedua-duanya ialah haji hanya boleh dikerjakan
dalam bulan haji iaitu mulai 1 Syawal hingga naik fajar hari 10 Zulhijah.
Umrah boleh dikerjakan pada bila-bila masa sepanjang tahun kecuali bagi
orang yang dalam ihram dengan haji. Umrah, tidak ada wuquf, mabit di
Muzdalifah, di Mina dan melontar jamrah.
? Apakah hukum mengerjakan haji dan umrah.
Haji dan umrah kedua-duanya adalah wajib di dalam seumur hidup sekali
saja. Sunat dikerjakan berulang-ulang kali.
? Ke atas siapakah haji dan umrah itu difardukan.
Haji dan umrah difardukan ke atas setiap orang Islam yang baligh,
berakal, merdeka (bukan hamba) dan berkuasa sama ada lelaki atau
perempuan.
? Apakah hukum haji kanak-kanak belum baligh.
Tidak wajib ke atas kanak-kanak yang belum baligh menunaikan haji. Jika
kanak-kanak yang mumaiyiz (yang tahu membezakan di antara kotor dan
bersih), tahu kerja haji dan membuatnya sendiri, maka hajinya sah tetapi
tidak menggugurkan fardu haji dirinya. Ia boleh berniat haji bagi dirinya
dengan syarat diizin oleh bapa atau walinya.
Jika kanak-kanak itu belum mumaiyiz dan ada bersama-sama bapa atau
walinya, maka bapa atau walinyalah yang meniatkan dan melakukan kerja
haji bagi kanak-kanak itu.
? Bagaimana bapa atau wali berniat dan melakukan haji bagi kanak-kanak
belum mumaiyiz.
Cara bapa atau wali berniat dan melakukan kerja haji bagi kanak-kanak
yang belum mumaiyiz adalah seperti berikut:
Niat:
Bapa atau wali hendaklah berniat dengan menjadikan anak/ tanggungannya
berihram.
Lafaz niatnya: "Saja aku berihram dengan ihram haji untuk
anakku/tanggunganku kerana Allah Taala."
Menyempurnakan rukun dan wajib haji.
Anak/tanggungan itu hendaklah dibawa bersama untuk berwukuf, bermalam
di Muzdalifah dan bermalam di Mina dan dicukurkan. Ada pun tawaf, sai dan
melontar, maka bapa atau wali hendaklah mengerjakan kerja itu bagi
dirinya sebelum mengerjakannya bagi anak.
Penjagaan pantang larang dalam ihram.
Bapa atau wali sayugialah menjaga anak/tanggungannya daripada melakukan
perkara yang dilarang dalam ihram. Jika kanak-kanak itu (yang belum
mumaiyiz) melakukan perkara yang dilarang dalam ihram tidak dikenakan
fidyah (dam). Tetapi, bagi kanak-kanak yang mumaiyiz wajib disempurnakan
dam.
? Apa hukum haji yang dilakukan kanak-kanak itu dan adakah dapat pahala.
Haji dilakukan kanak-kanak itu adalah haji sunat, tidak menggugurkan
haji fardunya. Ini bererti apabila dia baligh wajib mengerjakan haji
fardu atas dirinya.
Ibu atau bapa yang melakukan hajinya mendapat pahala, dalilnya
terkandung dalam hadis riwayat Abu Isa at-Tirmizi: "Seorang perempuan
telah mengangkat akan anaknya yang lelaki kepada Rasulullah SAW serta
berkata, Wahai Rasulullah SAW adakah bagi anak ini haji? Jawab Rasulullah
SAW : "Ya, dan bagi puan pahala."
? Bolehkah kanak-kanak belum mumaiyiz mengumpulkan batu dengan sendiri, atau perlu walinya mengutip untuknya.
Boleh dan seelok-eloknya wali hendaklah memungut dan memberi kepada
anaknya untuk melontar atau wali melontarkan untuk anaknya.
(Jawapan disediakan Bahagian Bimbingan Haji, Lembaga Tabung Haji)
|