Minda Lestari: Ibadat Haji didik jiwa menghargai alam
Bersama Prof Dr Zaini Ujang
SEMALAM jemaah haji sedang berwukuf di Arafah, menyempurnakan salah satu Rukun Haji. Ketika berwukuf jemaah haji diwajibkan berihram dengan memakai dua helai kain tidak berjahit bagi lelaki. Wukuf di Arafah adalah syiar Islam yang menyaksikan kehadiran jutaan jemaah tanpa mengenal pangkat, darjat, harta dan usia melafazkan talbiah dan kalimah taubat.
Sepanjang menunaikan ibadat haji, terserlah pelbagai pengajaran dan hikmah untuk membolehkan umat Islam berjaya di dunia dan akhirat. Antara lain, jemaah haji dididik supaya lebih bertakwa sekali gus menjana minda lestari.
Makna minda lestari dalam konteks Islam Hadhari ialah fikiran, anutan dan fahaman proaktif dengan meletakkan ekosistem dan seluruh komponen kosmos pada kedudukan sesuai dengan tabii kejadiannya.
Sebagai contoh, sumber hutan perlu diurus selestarinya - sama ada pembalakan, penerokaan sumber asli atau eko-pelancongan - tanpa menjejaskan peranan hutan sebagai pengimbang ekosistem dari segi kepelbagaian biologi, penyerap gas karbon dan penyejuk suasana.
Sepanjang ibadat haji, proses penjanaan minda lestari berlaku sekurang-kurangnya menerusi tiga amalan penting.
Pertama, menerusi kewajipan berihram. Selepas berniat haji, lebih tiga juta jemaah haji bergerombolan meninggalkan Makkah untuk wukuf di Arafah, kemudian mabit di Muzdalifah, melontar jamarat, bermalam di Mina, dituruti tawaf di Baitullah dan saei antara Safa ke Marwah, diakhiri dengan bercukur.
Pakaian ihram adalah simbol kesucian diri dan keputihan jiwa, sesuai dengan fitrah insaniah. Pakaian ihram juga adalah simbol betapa mudahnya keperluan hidup duniawi dalam perjalanan menuju destinasi akhirat.
Ketika berihram, jemaah wajib meninggalkan 13 larangan bertujuan mengawal hawa nafsu dan keinginan bersifat haiwani.
Larangan itu terbahagi kepada tiga kategori iaitu mengawal jiwa supaya tidak terpesona dengan keindahan duniawi, mengawal nafsu seksual dan melestarikan alam sekitar.
Ketika berihram, jemaah dilarang memakai wangi-wangian, pakaian bersarung, menutup kepala dan muka, menggunting kuku, memakai minyak rambut, mengerat kuku dan rambut atau bulu, serta bersarung tangan.
Larangan itu adalah simbolik betapa manusia sama taraf di sisi Allah. Faktor pembeda bukan kecantikan paras, pangkat, darjat atau kekayaan, tetapi tahap ketakwaan.
Proses penjanaan minda lestari juga berlaku ketika perjalanan ritual penuh simbolik bermula dari Makkah ke Mina, kemudian ke Arafah, kembali ke Mina dan berakhir di Makkah. Sepanjang perjalanan itu, jemaah haji sentiasa berzikir dan bertalbiah membesarkan Tuhan Pencipta Alam.
Pada saat ini terasa betapa kerdil dan lemahnya manusia sehingga ada jemaah keletihan dan tidak bermaya biarpun menggunakan bas dengan jarak perjalanan tidak jauh. Apatah lagi untuk mengelilingi cakerawala ciptaan Tuhan Maha Besar!
Ketika berihram, jemaah haji dilarang memotong, menebang, mengerat atau mencabut tumbuhan. Begitu juga memburu binatang buruan yang halal dimakan, apatah lagi membinasakannya. Larangan itu, antara lain, adalah simbolik untuk mendidik jemaah haji supaya melestari alam sekitar sebagai Kitab Tersirat yang menyerlahkan keagungan Tuhan Maha Bijaksana.
Dalam konteks lebih luas, tidak terhad ketika berihram, umat Islam ditegah melakukan amalan bukan lestari lain yang boleh mencemarkan air, udara, tanah dan komponen ekosistem. Kemuncaknya, larangan itu sepatutnya mendorong kita mengurangkan tahap penggunaan dan kebergantungan kepada sumber alam yang ketika ini semakin pupus.
Kedua, minda lestari juga terbina menerusi ibadat korban. Secara ritual dan prinsipnya, ibadat korban ialah penyembelihan binatang pada hari tasyrik. Ibadat ini tidak khusus kepada jemaah haji dan boleh dilakukan di mana saja, dan tidak terhad kepada binatang.
Nabi Ibrahim AS diperintah mengorbankan anaknya, Nabi Ismail AS. Pengorbanan juga membabitkan jiwa, harta, kedudukan dan kemewahan semata-mata mencari keredaan Allah. Ibadat haji juga mendorong kita berkorban untuk meringankan bebanan masyarakat menerusi pelbagai cara, misalnya membantu mereka dalam kesusahan dan musibah.
Selain itu, pengorbanan juga merangkumi langkah mengurangkan risiko hal yang memudaratkan. Secara teknikal, ia disebut pengurusan risiko, misalnya menerusi pelestarian ekosistem seperti hutan, sumber air dan mengurangkan pembebasan gas karbon ke ruang udara.
Dalam konteks ini - seperti dianjurkan menerusi hikmah ibadat korban - pengorbanan membabitkan masa, wang, kepakaran, idea dan keringat untuk memastikan dasar dan amalan lestari dilaksanakan dalam konteks keluarga, komuniti, lapangan kerja dan negara.
Ketiga, minda lestari terjana dengan memahami hikmah dan sejarah Makkah menerusi Nabi Ibrahim AS, anaknya Nabi Ismail AS dan isterinya Hajar. Di situlah terpancarnya air zam zam menerusi hentakan kaki Ismail, ketika ibunya kehausan berulang-alik dari Safa ke Marwah mencari sumber air. Dengan air zam zam itulah bermulanya kehidupan keluarga Ibrahim dan tamadun Islam di halaman Kaabah di bumi Makkah.
Sesungguhnya jemaah haji, sebagai tetamu Allah, dididik mengenai kepentingan sumber air sebagai sumber kehidupan dan asas kemajuan. Oleh itu sumber air di mana saja, perlu dilestari untuk keperluan jasad, penyucian diri, pembersihan rohani dan sumber ekonomi.
Pelestarian sumber air bermakna memastikan bekalan air mengalir seadanya dengan kualiti air bersih dan penggunaannya dioptimumkan tanpa pembaziran.
Demikian manifestasi di sebalik amalan dan penghayatan ibadat haji dalam konteks pembinaan minda lestari. Kesannya menyuci dan memutihkan jiwa seperti putihnya pakaian ihram.
Impaknya menjernihkan minda seperti jernihnya air zam zam. Dan kemuncaknya ialah penghayatan hidup penuh taqwa seperti hampirnya diri kepada Ilahi ketika khusyuk bertawaf mengelilingi Baitullah.
"Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, ya Allah. Tuhan yang tidak ada sekutu-Nya. Sesungguhnya segala pujian, nikmat dan pemerintahan adalah kepunyaan-Mu. Tidak ada sekutu bagi-Mu".
Prof Datuk Dr Zaini Ujang ialah Timbalan Naib canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Teknologi Malaysia.
|