Muka Depan | Berita | BicaraHaji | SoalJawab | BH | HM 
Panduan Haji & Umrah
Bil 
Tajuk
1 Talbiah
2 Rukun dan Wajib Haji
3 Niat Mengerjakan Haji
4 Peta Miqat Haji dan Umrah
5 Wuquf di Arafah
6 Zikir-Zikir pada Hari Wukuf
7 Tawaf dan Pengertian
8 Panduan Permulaaan dan Penghabisan Tawaf
9 Kedudukan Ka'bah
10 Sa'ie dan Pengertian
11 Kedudukan Safa & Marwah
12 Larangan-Larangan Dalam Masa Ihram
13 Bermalam (Mabit) di Muzdalifah
14 Syarat-Syarat Melontar
15 Melontar Jamratul Aqabah pada 10 Zulhijjah (Hari Nahar) di Mina
16 Bermalam (Mabit) di Mina
17 Melontar Jamarat pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah di Mina (pada hari-hari Tasyriq)
18 Rukun dan Wajib Umrah
19 Niat Mengerjakan Umrah
20 Jenis-Jenis Haji
21 Ringkasan Cara-Cara Mengerjakan Haji
22 Tawaf Wada' dan Hukumnya
23 Dam
24 Dam Ihsar
25 Ziarah Madinah
26 Nama dan Nombor Pintu-Pintu Masjid Nabawi
BICARA HAJI:
Catatan dari Tanah Suci Musim Haji 2007M/1408H


PAGI 13 November 2007, hari Selasa adalah seperti biasa pagi yang sibuk di Kuala Lumpur. Bunyi nyaring siren dari motosikal berkuasa tinggi dan kereta pengiring Polis Diraja Malaysia yang melicinkan perjalanan pembesar negara adalah juga sesuatu yang bukan luar biasa yang boleh mengalihkan pandangan pemandu kereta di sepanjang jalan Tun Abdul Razak pada pagi itu. Tetapi peristiwa pada pagi 13 November itu sebenarnya bukanlah sesuatu yang biasa berlaku setiap hari, setiap minggu atau setiap bulan. Konvoi yang diiringi oleh pasukan Polis DiRaja Malaysia itu sebenarnya menghala ke Kelana Jaya untuk pergi ke Kompleks Haji Lembaga Tabung Haji.

Pada pagi Selasa tersebut, Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al Mulktafi Billah Shah beserta Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah telah berbesar hati mencemar duli untuk sama-sama meraikan pemergian sekumpulan bakal jemaah haji Malaysia yang dijadualkan berlepas ke Madinah dengan pesawat Penerbangan Malaysia KT6 dari lapangan terbang KLIA. Baginda telah bertitah kepada hadhirin dengan kandungan yang mengandungi kata-kata nasihat, peransang dan juga doa kesejahteraan serta keselamatan semua bakal jemaah haji pada pagi itu khususnya dan keseluruhan jemaah haji dari Malaysia pada musim haji 1408/2007 amnya. Pada akhir majlis baginda berdua telah dengan mesra dan sabar bersalaman dengan setiap bakal jemaah haji yang bergerak secara berdisiplin kearah laluan menaiki bas untuk ke KLIA disamping membekalkan setiap dari mereka dengan sehelai kain pelikat atau kain batik sebagai cenderahati dari baginda berdua.

Setelah kesemua bakal jemaah haji menaiki bas bunyi siren dan iringan kereta dan motosikal berkuasa tinggi anggota trafik Polis Di Raja Malaysia tersebut berkedengaran semula. Kali ini petugas pengiring PDRM mengiringi sembilan buah bas pelancong yang disewa khas oleh Perkhidmatan Pengangkutan Lembaga Tabung Haji khusus untuk membawa bakal jemaah tersebut secara konvoi dari Kelana Jaya ke KLIA dengan teratur dan selamat tanpa gangguan atau kelewatan untuk mempastikan perjalanan dari tanah air ke tanah suci bermula dengan baik dan licin. Kini, kesemua 380 bakal jemaah dan pasukan petugas Tabung Haji yang mengiring dalam konvoi tersebut sememangnya dapat merasakan bahawa mereka bukanlah penumpang biasa sebuah bas pelancong untuk pergi dari titik A ke titik B. Mereka adalah sekumpulan rakyat Malaysia yang mendapat layanan laluan perjalanan istimewa seperti yang biasa di nikmati dan di alami oleh kesemua pembesar negara selama ini. Mengapa tidak, mereka adalah bakal tetamu Allah Tuhan dan Raja sekelian alam dan kandungannya. Mereka bakal melawat Rumah Allah di Masjidil Haram di Mekah Al Mukarramah serta menziarahi makam serta masjid Kekasih dan Rasul Allah , Muhammad S.A.W di Madinah Al Munawwarah. Adakah apa lagi dua perjalanan yang lebih hebat dan penting di dunia ini untuk keseluruhan umat Islam dari seluruh dunia kalau tidak urusan perjalanan mengerjakan Haji dan ziarah Makam Rasul?

Tepat dan patutlah jemaah tersebut diberi layanan VIP oleh pihak berkuasa Kerajaan Malaysia sewaktu di tanah air sebelum bertolak dan diteruskan mengikut keadaan di Tanah Suci nanti.

Di sepanjang perjalanan, petugas PDRM tidak lepas tangan bertungkus lumus menghalang trafik di atas jalan atau di persimpangan jalan dari masuk kedalam barisan kelapan buah bas tersebut atau mengganggu konvoi tersebut hinggalah kesemua bas-bas yang membawa bakal jemaah haji selamat tiba di bahagian dalam lapangan terbang untuk membawa kesemua jemaah tersebut sehampir yang boleh dengan kapal terbang gergasi Jumbo 747 MAS yang sedang sedia menunggu di situ. Kakitangan pengurusan tertinggi Lembaga Tabung Haji termasuk bekas Ketua Rombongan Haji operasi Haji 2006, Datuk Dr Haji Azmi Ahmad turut berada di terminal penerbangan untuk mempastikan bahagian terakhir yang di lalui bakal jemaah sebelum kapal terbang berlepas tidak terjejas oleh apa-apa kemungkinan diluar jangkaan pada sat-saat akhir.

Sewaktu melangkah kedalam pesawat MAS dan disambut oleh anak-anak kapal yang mesra serta penuh senyuman, jelas kepada sesiapa yang pernah menggunakan kapal terbang sewa untuk operasi haji di tahun-tahun terdahulu bahawa kapal terbang kali ini adalah sama seperti kapal terbang MAS yang digunakan untuk penerbangan komersial jarak jauh berjadual kerana tempat duduk dan ruang jarak diantara kerusi di kelas pertama serta di kelas perniagaan dikekalkan seperti sedia ada tanpa ditukar atau ditambahkan untuk meningkatkan kapasiti jemaah yang diterbangkan seperti lazimnya dilakukan di waktu lampau oleh syarikat yang bertanggungjawab membawa jemaah pergi dan balik untuk urusan ibadah haji pada waktu dulu. Pesawat KT6 meninggalkan KLIA menuju ke Madinah sebelum tengahari waktu Kuala Lumpur dengan bacaan doa musafir yang disiarkan melalui skrin TV dalam pesawat memohon dari Ilahi keselamatan, perlindungan dan keberkatan di sepanjang perjalanan.

Di sepanjang penerbangan, anak kapal yang bertugas tidak berhenti menghulurkan perkhidmatan yang memuaskan termasuk menghidangkan sajian yang bukan disediakan dengan ala kadar, menyediakan surat khabar untuk dibaca serta menayangkan video mengandungi maklumat-maklumat penting dan berguna berkaitan ibadah haji dan ibadah solat dalam penerbangan.

Alhamdulillah, selepas terbang lebih dari 8 jam, penerbangan MAS KT6 sampai mengikut jadual di lapangan terbang Madinah tanpa masalah. Di situ, petugas kebajikan dan perubatan Tabung Haji yang sudah bersedia menunggu di terminal ketibaan, terus memberi khidmat secara professional setibanya jemaah diterminal penumpang. Beruntungnya jemaah haji dari Malaysia yang tidak sedikit pun terlepas pandang dari mata petugas Tabung Haji dalam mempastikan kebajikan mereka terurus dan tidak mengalami kepayahan yang akan menyulitkan urusan ibadah yang mereka telah rancang sejak sekian lama.

Pihak berkuasa Arab Saudi di Lapangan Terbang Madinah juga layak diberi pujian diatas kemesraan dan kelicinan mereka membantu urusan pemeriksaan bagasi serta memproses dokumen perjalanan di lapangan terbang tersebut tanpa banyak kerenah seperti di lapangan terbang Jeddah di tahun-tahun terdahulu. Mungkin ianya juga ada kaitan dengan sikap kemesraan penduduk Madinah dari zaman dahulu yang mesra menerima kedatangan Rasul junjungan, Nabi Muhammad S.A.W serta sahabat-sahabat setianya ketika baginda meninggalkan Mekah untuk berhijrah ke Yathrib, suatu nama lain yang digunakan untuk Bandar Madinah 1408 tahun dahulu.

Pihak Muassasah yang telah di pertanggungjawabkan oleh pihak berkuasa Arab Saudi untuk mengatur urusan perjalanan dan penginapan jemaah haji dari Malaysia juga menjalankan tugas mereka dengan memuaskan dan jemaah seterusnya di bawa dengan bas berhawa dingin dari lapangan terbang ke hotel penginapan di Bandar Madinah tanpa menunggu dalam masa yang lama dan membebankan seperti waktu dahulu.

Bandar Madinah sudah berubah wajah dengan ketara dibandingkan 10 tahun lalu dimana banyak bangunan lama dan bazaar ditepi jalan terutamanya yang berhampiran dengan kawasan Masjid Nabawi serta kawasan perkuburan Baqi' sudah bertukar menjadi deretan bangunan moden yang tersusun serta menarik. Setibanya di Hotel Al Haram (salah satu dari 3 hotel utama untuk menempatkan jemaah haji Malaysia) yang tidak sampai 100 meter dari kawasan Masjid Nabawi, pasukan penyambut dari kedua-dua petugas kebajikan dan perubatan di kawasan tersebut juga sudah bersedia menunggu ketibaan jemaah dan menolong mereka untuk ditempatkan di bilik masing-masing seterusnya mendapatkan bagasi mereka yang sudah berjam-jam didalam perjalanan selepas di tutup dan kunci dengan selamat oleh keluarga mereka sewaktu di Malaysia tempoh hari.

Terkejut dengan kemudahan hotel lima bintang yang di sediakan, ramai jemaah sebenarnya seolah-olah tidak percaya bahawa mereka mendapat kemudahan tersebut dengan membayar pakej haji biasa tanpa perlu menambah sejumlah wang yang besar untuk membeli keselesaan seperti di tahun-tahun terdahulu. Kasihan juga apabila terdengar cerita orang-orang tua yang tidak dapat masuk ke dalam bilik kerana tidak mengetahui cara menggunakan kad akses bilik dengan betul. Ada juga dikalangan mereka yang tidur di malam pertama dalam gelap kerana menyangkakan lampu bilik mereka tidak berfungsi walhal mereka gagal memasukkan kad akses tersebut kedalam tempat pengisian kad yang betul. Ada juga kisah jemaah dari golongan tua dan tidak pernah tinggal di hotel lima bintang yang kesemuanya berselimut kesejukan diwaktu malam kerana tidak mengetahui cara mengubah suhu pendingin hawa yang terletak di dinding bilik-bilik mereka. Walaubagaimanapun, masaalah yang tidak dijangkakan itu dapat diatasi dengan bantuan dan penerangan yang diberikan oleh petugas kebajikan atau perubatan yang membuat rodaan di tempat penginapan jemaah dari semasa kesemasa.

Jemaah juga boleh mendapatkan bantuan melalui petugas yang sentiasa bersedia di bilik gerakan yang ditempatkan di kedua-dua hotel tersebut.

Memang selesa bilik mereka berbanding di tahun tahun dulu dimana jemaah kita tidur diatas tilam nipis diatas lantai bersempadankan bagasi masing-masing diantara satu jemaah dengan jemaah lain kerana mereka di padatkan seramai 10 hingga 20 orang sebilik. Di Hotel Al Haram dan hotel 5 bintang lain yang disewa oleh Tabung Haji (dikenali Moven Pick atau Anwar Madinah-yang dikendalikan oleh kumpulan pengurusan hotel dari Swizerland) jemaah bukan saja tidur diatas katil yang disediakan bantal bersarung serta tilam diatas divan beralas kain lembut kapas putih dan dilengkapi selimut dari benang bulu tetapi juga hanya berkongsi dengan 2 hingga 8 orang jemaah sebilik bergantung samaada bilik mereka terdiri dari kategori biasa atau dari jenis `suite' yang disediakan kerusi , meja serta sofa , alat pemanas air , televisyen berwarna berserta TV satelit, peti sejuk dan sudah semestinya bilik air yang mempunyai kolam mandi dan bekalan air panas , syampu, sabun ,pengering rambut serta tuala mandi! Aduhai .... seronoknya dan bertuahnya jemah haji dari Malaysia kali ini, jauh dari langit jika dibandingkan sewaktu pengalaman ibu bapa penulis yang mengerjakan haji hampir tiga puluh tahun lalu dan pengalaman sendiri kali pertama ke Tanah Suci 10 tahun dahulu.

Setelah berehat seketika, jemaah kemudiannya mula mengunjungi Masjid Nabawi untuk urusan solat sunat dan solat fardhu, ziarah makam Rasulullah serta kedua sahabat akrab baginda, Khalifah Al Rashidin, Saidina Abu Bakar As Siddiq R.A dan Saidina Omar Al Khatab R.A serta berdoa memohon keampunan dari Ilahi dan untuk memenuhi hajat tertentu di tempat-tempat yang mustajab didalam Masjid termasuk di Multazam dan di kawasan Raudhah.

Acara hari-hari berikutnya adalah termasuk lawatan (di istilah ziarah luar) ketempat-tempat bersejarah tertentu disekitar Madinah untuk mengimbasi kembali sejarah perjuangan Rasulullah dan sahabat-sahabatnya di peringkat awal perkembangan Islam. Antara tempat yang di lawati termasuklah Masjid Kiblatain , masjid yang mempunyai dua kiblat (satu kiblat awal mengadap Baitulmuqaddis dan satu lagi kiblat kedua mengadap Baitullah di Mekah yang kekal hingga sekarang), Masjid Qubah yang membawa kepada pahala satu umrah kepada pelawatnya dan peninggalan Perang Khandaq (peperangan parit yang meninggalkan kisah kehandalan Salman Al Farisi mencetuskan idea benteng pertahanan yang dapat mengalah dan melemahkan serangan musuh Islam ketika itu dan kesanggupan Rasulullah menerima cadangan sahabatnya yang bukan seorang Arab) dan juga kawasan Bukit Uhud dimana terdapatnya makam bapa saudara Rasulullah, Saidina Hamzah yang gugur syahid lantas menyaksikan kekalahan tentera Islam di tangan Khalid Al Walid (yang secara ironis kemudiannya memeluk Islam dan menjadi salah seorang perwira perang paling handal dalam sejarah awal Islam) akibat sikap tidak berdisiplin pasukan pemanah diatas bukit mengingkari perintah Rasulullah untuk tidak meninggalkan kedudukan mereka walaupun tentera Islam berada dalam kedudukan menang pada ketika itu.

Sikap tidak berdisiplin sebahagian besar umat Islam juga adalah salah satu faktor penting dalam mengekalkan tahap lemah dan kemunduran umat Islam di seluruh dunia ketika ini. Alangkah baiknya jika lawatan-lawatan tersebut disusuli dengan keinsafan dan pelajaran berguna supaya kita bukan saja menghargai pengorbanan dan perjuangan Rasulullah dan pengikut-pengikut awal baginda tetapi juga memperbaiki perancangan, strategi serta tindakan kita agar kita berubah dari keadaan lemah terumbang ambing seperti buih dan tidak signifikan kepada keadan dan kedudukan penuh keyakinan, berjaya dengan erti sebenarnya didunia dan akhirat serta di segani dan di hormati oleh rakan dan lawan.

Sementara itu petugas perubatan di tiga klinik yang beroperasi dari 13 November telah menerima pesakit-pesakit yang semakin meningkat dari sehari kesehari. Seperti biasa penyakit berkaitan kekurangan air dalam badan, pendedahan kepada cuaca panas dan udara kering serta kekurangan rehat dan aktiviti fizikal berlebihan menjadi penyumbang utama kepada kes-kes yang perlu dirawat di klinik Zon Satu dan Zon Dua di penempatan jemaah haji Malaysia. Seperti biasa juga kes pesakit terlupa membawa ubat-ubatan penting yang diambil setiap hari di Malaysia seperti ubat penyakit jantung koronari, ubat tekanan darah tinggi, ubat diabetes termasuk ubat suntikan insulin masih dikesan sewaktu rondaan oleh petugas perubatan atau ketika pesakit hadhir ke klinik untuk mendapat rawatan. Pesanan untuk membawa sendiri ubat-ubatan yang penting tersebut menjadi ingatan rutin dalam ceramah-ceramah kesihatan di tanah air tetapi disebabkan beberapa faktor, kes peninggalan ubat masih berlaku. Akibatnya ada pesakit yang mengalami tahap glukos yang tinggi dan merbahaya didalam darah serta tekanan darah yang tinggi yang boleh membawa kepada komplikasi yang lebih serius jika tidak dikesan dan dirawat.

Seawal minggu pertama ketibaan jemaah sudah ada kes jemaah berumur yang mengalami kelupaan yang ketara. Seorang jemaah lelaki dari Banting tidak pasti dimana beliau berada apabila di bawa oleh petugas kebajikan ke klinik untuk pemeriksaan setelah di kesan merayau di kawasan lobi hotel dalam keadaan bingung. Apabila di ingatkan yang beliau berada di Madinah dan ditanya bagaimana beliau boleh sampai kesitu pak chik yang berumur dalam linkungan 70an itu mengatakan yang beliau menaiki motokar dari rumahnya. Apabila ditanya mengenai saudara atau isteri yang mengikuti bersama beliau mengatakan bahawa tiada siapa yang datang bersama dan isterinya berada di Malaysia sedangkan isterinya di ketahui keesokannya ada bersama di Madinah dengan jemaah perempuan lain di bangunan yang sama. Apabila di tegur oleh sekumpulan rakan sebilik yang berselisih di jalan ketika di bawa ke masjid, beliau tidak mengenali kesemuanya seperti tidak pernah bertemu sebelum itu. Kes-kes seperti ini bukanlah kes terasing dan biasa berlaku keatas jemaah kita yang mempunyai faktor-faktor risiko tertentu. Setengahnya boleh pulih beransur ansur dan di hantar semula untuk tinggal bersama kumpulan jemaah asal mereka manakala sebahagian yang lain perlu di jaga dan di pantau oleh petugas perubatan secara berterusan sehingga pulang semula ke Malaysia.

Setelah tiga hari berada di Madinah, sampailah masanya arahan di terima dari Pengarah Operasi Perubatan di Madinah untuk penulis bersama 22 anggota lain bersiap seawal 6.30 pagi keesokan harinya untuk bertolak ke Mekah dengan berpakaian Ihram untuk mengerjakan Umrah yang merupakan sebahagian dari acara haji Tamattu' yang di kerjakan oleh hampir keseluruhan jemaah haji dari Malaysia. Seawal jam 3.30 pagi penulis sudah bersedia di Masjid Nabawi untuk mengerjakan fardhu subuh dan mengucapkan selamat tinggal kepada Rasulullah dengan doa dan harapan agar perpisahan tersebut di berkati dan di rahmati Allah. Semoga di panjangkan umur dan di murahi rezeki untuk berpeluang menziarahi Madinah yang mesra dan Rasulullah serta sahabatnya yang bersemadi di Tanah Suci itu di kesempatan yang lain. Cumanya ada sedikit kerisauan yang terbuku dihati dan ketidakpuasan yang terasa sewaktu bersiap menunggu kenderaan datang mengambil petugas untuk memulakan perjalan jauh ke Mekah yang di jangka mengambil masa sekurang-kurangnya 5 jam dengan jalan darat. Pembangunan semula Madinah secara besar besaran menyaksikan projek-projek konkrit besar menghimpit kawasan masjid dan suatu hari nanti tiada lagi kawasan lapang diantara pagar masjid dengan deretan bangunan yang mengelilingi Masjid kedua terpenting dalam kehidupan umat Islam seluruh dunia itu. Kesan penggunaan hasil teknologi moden juga telah menyebabkan keheningan dan ketenangan didalam masjid terutama ketika bersujud atau rukuk bersama Imam sewaktu sembahyang fardhu dicemari secara berulang oleh deringan telefon bimbit yang tidak dimatikan sewaktu berada didalam masjid. Sukar di fikirkan kesan-kesan lain di waktu hadapan tetapi kita berdoa agar Madinah akan terus bersinar, aman, menarik dan menjadi idaman untuk di lawati oleh seluruh umat Islam sampai ke akhir hayat dunia ini. Terima kasih kepada Tabung Haji yang telah memberikan perkhidmatan yang cemerlang kepada rakyat Malaysia beragama Islam untuk memudahkan sebanyak mungkin segala urusan berkaitan haji dan membantu mereka mengatasi musibah dan kesusahan ketika berada di Tanah Suci. Terima kasih juga kepada kerajaan Malaysia yang prihatin kepada status jemaah haji dan memberi penghormatan dan layanan yang istimewa kepada mereka.

Perjalanan ke Mekah dengan pakaian Ihram bermula pukul lapan pagi meninggalkan banyak ingatan manis. Sepanjang perjalanan dari Madinah ke Mekah yang menampakkan muka bumi Arab Saudi yang kering kontang dan bukit bukau berbatu hitam sekali lagi mengusik hati kecil untuk mengimbas kembali susah payah dan pengorbanan Rasulullah serta sahabat-sahabat baginda yang setia, mengembara berminggu-minggu dengan menaiki unta dan berjalan kaki meninggalkan tanah tempat tumpah darah dan harta benda serta keluarga di Mekah yang tidak menerima ajaran agama tauhid bawaan baginda, berhijrah ke Madinah untuk bertukar ke satu kawasan yang penduduknya menerima kedatangan Rasulullah dan ajarannya dengan terbuka dan baik sehingga memungkinkan Islam berkembang dan bersinar di seluruh dunia termasuk di Nusantara dan membawa kita semua semula ke sini akhirnya. Salam rindu kepada Rasulullah S.A.W dan selamat datang ke Mekah Al Mukarramah kepada jemaah haji dari Malaysia khususnya dan dari seluruh dunia amnya semoga urusan perjalanan ibadat haji tahun ini berjalan lancar dan ibadat haji serta umrah dapat dilaksanakan dengan tenang dan terkawal dengan bantuan Allah S.W.T.

  • Oleh Dr Ghazali Ahmad, Ketua Pakar Perubatan Rombongan Perubatan Musim Haji Lembaga Tabung Haji 2007M/1408H

  • Penulis berkhidmat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia sebagai Pakar Perunding Kanan & Ketua, Jabatan Nefrologi, Hospital Kuala Lumpur


  • Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.