Muka Depan | Berita | BicaraHaji | SoalJawab | BH | HM 
Panduan Haji & Umrah
Bil 
Tajuk
1 Talbiah
2 Rukun dan Wajib Haji
3 Niat Mengerjakan Haji
4 Peta Miqat Haji dan Umrah
5 Wuquf di Arafah
6 Zikir-Zikir pada Hari Wukuf
7 Tawaf dan Pengertian
8 Panduan Permulaaan dan Penghabisan Tawaf
9 Kedudukan Ka'bah
10 Sa'ie dan Pengertian
11 Kedudukan Safa & Marwah
12 Larangan-Larangan Dalam Masa Ihram
13 Bermalam (Mabit) di Muzdalifah
14 Syarat-Syarat Melontar
15 Melontar Jamratul Aqabah pada 10 Zulhijjah (Hari Nahar) di Mina
16 Bermalam (Mabit) di Mina
17 Melontar Jamarat pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah di Mina (pada hari-hari Tasyriq)
18 Rukun dan Wajib Umrah
19 Niat Mengerjakan Umrah
20 Jenis-Jenis Haji
21 Ringkasan Cara-Cara Mengerjakan Haji
22 Tawaf Wada' dan Hukumnya
23 Dam
24 Dam Ihsar
25 Ziarah Madinah
26 Nama dan Nombor Pintu-Pintu Masjid Nabawi
BICARA HAJI:
Program ziarah dapat sambutan ramai jemaah haji Malaysia
Oleh Khairdzir Yunus

PROGRAM ziarah ke tempat bersejarah di sekitar Mekah sentiasa mendapat sambutan ramai jemaah haji Malaysia sebagai aktiviti mengisi waktu sementara mereka menunggu hari wukuf, selain mengerjakan amal ibadat yang wajib dan sunat di Masjidil Haram.

Tinjauan ke kaunter perkhidmatan program ziarah di lobi bangunan Al-Janadiriah di sini, di mana kira-kira 7,700 jemaah haji Malaysia menginap di tiga buah maktab (tempat penginapan) yang terletak di bangunan itu, mendapati kaunter itu sentiasa dipenuhi pelanggan yang berminat menyertai program ziarah berkenaan.

Konsul Haji Malaysia di sini Shahruddin Abu Bakar memberitahu wartawan Malaysia di sini bahawa tahun ini adalah tahun pertama program ziarah itu dikendalikan oleh pihak Muassasah (pihak berkuasa haji Arab Saudi) dengan kerjasama pengurusan maktab.

"Pegawai tertinggi Muassasah bagi Asia Tenggara, Sheikh Syamir Indragiri turut berpuas hati dengan program ziarah yang buat pertama kalinya ditadbirkan secara teratur oleh pihak Muassasah dengan kerjasama pihak pengurusan maktab jemaah haji," katanya.

Bayaran yang dikenakan untuk menyertai pakej ziarah di sekitar Mekah tersebut ialah sebanyak SR25 (SR100=91.96).

Antara tempat yang boleh dilawati jemaah haji ialah Masya'ir Haram (Arafah, Muzdalifah dan Mina) yang merupakan tempat bagi jemaah haji mengerjakan sebahagian daripada amalan haji mereka.

Arafah, yang merupakan tempat untuk mengerjakan wukuf pada 9 Zulhijjah, dinamakan Arafah sempena tempat pertemuan pertama antara Nabi Adam dan Hawa selepas mereka diturunkan ke bumi. Ia juga dinamakan Arafah kerana di tempat itulah Malaikat Jibrail mengajar Ibrahim mengenai amalan haji.

Arafah merupakan sebuah hamparan padang pasir yang luasnya kira-kira 10.4 kilometer persegi. Jarak Arafah dari kota suci Mekah ialah 21.9 kilometer dari arah tenggara Masjidil Haram. Arafah adalah tanah halal dan pemisah antaranya dengan tanah haram adalah Wadi 'Uranah iaitu tempat di mana Nabi Muhammad menyampaikan Khutbah Arafah ketika baginda mengerjakan Haji terakhir sebelum baginda wafat pada tahun 10 Hijrah.

Kini Kerajaan Arab Saudi telah menanam sebanyak 100,000 pokok bertujuan menyegarkan udara dan menjadi tempat berteduh jemaah haji.

Jemaah haji biasanya akan dibawa melawat beberapa tempat bersejarah di Arafah seperti Masjid Namirah, yang mempunyai keluasan 14,000 meter persegi yang dibina dengan sebahagian daripadanya terletak di kawasan Wadi 'Uranah. Ia menjadi lokasi perkhemahan Baginda Rasulullah dan sahabat sebelum tiba waktu berwukuf.

Kira-kira 1.5 kilometer dari Masjid Namirah terdapat sebuah bukit kecil yang masyhur dikenali sebagai Jabal Rahmah. Di kaki bukit ini terdapat al-Sakhrah iaitu batu tempat Baginda Rasulullah berwukuf.

Muzdalifah pula ialah tempat bagi jemaah haji bermalam (mabit) pada malam 10 Zulhijjah. Ia dinamakan Muzdalifah kerana ramai orang singgah di tempat itu pada tengah malam atau kerana semua orang bergerak secara serentak dari tempat tersebut.

Ia adalah tanah haram yang jaraknya dari Mekah ialah kira-kira 13.9 kilometer, terletak antara Ma'zimai Arafah (lorong sempit antara dua bukit) dan Muhassir yang merangkumi jarak empat kilometer dengan keluasan 12.25 kilometer persegi. Terdapat

Sebuah masjid di Muzdalifah yang dikenali sebagai Masjid al-Masy'ar al-Haram ialah tempat Baginda Rasulullah mengerjakan solat Maghrib dan Isyak, seterusnya mabit keesokan harinya. Jarak masjid ini dengan Masjid Namirah adalah tujuh kilometer manakala jaraknya dari Masjid Khaif di Mina kira-kira lima kilometer.

Mina pula adalah tanah haram yang menjadi tempat mabit bagi jemaah haji pada malam 11, 12, dan 13 Zulhijjah. Ia dinamakan Mina kerana banyaknya darah mengalir daripada binatang ternakan (unta, lembu dan kambing) yang disembelih sebagai dam, korban dan sedekah.

Ia terletak antara Muzdalifah dan Mekah dan jarak antara kedua-dua tempat ini ialah tujuh kilometer dari arah timur laut Masjidil Haram atau empat kilometer melalui terowong. Mina berada antara dua bukit iaitu Jabal Sobin dan Jabal Thabir dan mempunyai keluasan 8.18 kilometer persegi.

Di Mina terdapat tiga jamrah yang menjadi tempat bagi jemaah haji melontar anak-anak batu sebagai sebahagian daripada amalan haji mereka. Ia dipanggil Jamrah kerana anak batu dilontar di tempat tersebut atau kerana batu lontaran yang terkumpul di situ.

Jamrah tersebut ialah Jamrah Sughra iaitu yang berada berhampiran Masjid Khaif dan menghadap ke arah Mina, diikuti dengan Jamrah Wusta yang jarak antara kedua-duanya kira-kira 200 meter. Jamrah terakhir pula ialah Jamrah Kubra yang terletak kira-kira 247 meter dari Jamrah Wusta dan menghadap ke arah Mekah.

Tempat lain yang turut popular sebagai tempat ziarah bagi jemaah haji Malaysia ialah Jabal Al-Nur iaitu sebuah bukit yang terletak kira-kira lima kilometer ke arah timur laut Masjidil Haram di mana pada satu cerunnya terdapat sebuah gua yang dikenali sebagai Ghar al-Hira' (Gua Hira'). Di gua inilah Baginda Rasulullah menyendiri dan beribadat sehingga didatangi oleh Malaikat Jibrail yang membawa wahyu Illahi yang pertama.

Selain itu terdapat Jabal Thur yang terletak kira-kira empat kilometer dari arah selatan Masjidil Haram di mana terdapat Ghar Thur (Gua Thur) iaitu tempat Baginda Rasulullah dan sahabatnya Abu Bakar al-Siddiq menyembunyikan diri selama tiga malam ketika peristiwa hijrah dari Mekah ke Madinah pada tahun 622 Masihi.

Tempat lain yang tidak kurang menarik untuk dilawati jemaah haji ialah Maulid Nabi (Rumah Kelahiran Nabi Muhammad) yang terletak berhampiran Mas'a (tempat mengerjakan Sa'ie) iaitu arah timur Masjidil Haram. Kawasan ini dikenali sebagai Suq al-Layl atau Shib Ali. Kini, di tempat kelahiran Baginda Rasulullah itu, terbina sebuah bangunan yang dijadikan sebuah perpustakaan dengan nama "Maktabah Makkah Al-Mukarramah".

Jemaah juga boleh melawat perkuburan Ma'la yang terletak dalam lingkungan satu kilometer dari arah timur Masjidil Haram yang keseluruhannya menghadap ke arah Kaabah. Di sini bersemadinya jasad Saidatina Khadijah, isteri Rasulullah, para sahabat dan ulama besar. - Bernama


Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.