Muka Depan | Berita | BicaraHaji | SoalJawab | BH | HM 
Panduan Haji & Umrah
Bil 
Tajuk
1 Talbiah
2 Rukun dan Wajib Haji
3 Niat Mengerjakan Haji
4 Peta Miqat Haji dan Umrah
5 Wuquf di Arafah
6 Zikir-Zikir pada Hari Wukuf
7 Tawaf dan Pengertian
8 Panduan Permulaaan dan Penghabisan Tawaf
9 Kedudukan Ka'bah
10 Sa'ie dan Pengertian
11 Kedudukan Safa & Marwah
12 Larangan-Larangan Dalam Masa Ihram
13 Bermalam (Mabit) di Muzdalifah
14 Syarat-Syarat Melontar
15 Melontar Jamratul Aqabah pada 10 Zulhijjah (Hari Nahar) di Mina
16 Bermalam (Mabit) di Mina
17 Melontar Jamarat pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah di Mina (pada hari-hari Tasyriq)
18 Rukun dan Wajib Umrah
19 Niat Mengerjakan Umrah
20 Jenis-Jenis Haji
21 Ringkasan Cara-Cara Mengerjakan Haji
22 Tawaf Wada' dan Hukumnya
23 Dam
24 Dam Ihsar
25 Ziarah Madinah
26 Nama dan Nombor Pintu-Pintu Masjid Nabawi
BICARA HAJI:
Merungkai masalah jemaah wanita
Oleh Maznah Daud

HAJI adalah satu kewajipan yang dituntut ke atas umat Islam yang memenuhi syarat-syaratnya sama ada lelaki atau wanita. Bagi wanita, haji adalah satu jihad seperti dinyatakan di dalam hadis bermaksud: "Jihad bagi warga tua, kanak-kanak, golongan yang lemah dan wanita ialah haji dan umrah." (Sunan an-Nasaa'i)

Aisyah berkata kepada Rasulullah SAW yang maksudnya: "Ya Rasulullah, setahu kami jihad adalah amal yang paling afdal. Maka, apakah kami dituntut supaya pergi berjihad?" Baginda bersabda: "Tidak! Tetapi jihad yang paling afdal (bagi kalian) ialah haji yang mabrur." (Sahih al-Bukhari)

Untuk memperoleh haji mabrur memerlukan kefahaman serta penghayatan yang tulus ikhlas dalam beribadah. Jemaah haji wanita perlu memahami hukum-hakam serta permasalahan berkaitan kewanitaan seperti mahram, haid, nifas, istihadah dan edah.

Perkara itu bukanlah penghalang kepada haji mabrur atau mengganggu ibadat haji seseorang wanita. Namun, jika tidak difahami dan diperingatkan, mungkin akan timbul kekeliruan atau salah faham yang mengakibatkan terjejasnya ibadat haji atau umrah.

Beberapa masalah berkaitan dengan jemaah haji wanita:

Mahram

Syarat wajib haji bagi wanita selain daripada Islam, baligh, berakal, merdeka dan berkemampuan ialah mendapat keizinan suami atau wali dan ditemani suami atau mahram atau kumpulan wanita yang thiqat (dipercayai).

Mereka juga mestilah tidak berada dalam edah. Berdasarkan pendapat dalam Mazhab Syafi'e, wanita yang tidak mendapat keizinan suami atau wali serta tidak mempunyai teman daripada kalangan mereka yang disebut di atas, tidak wajib ke atasnya menunaikan haji dan tidak berdosa walaupun dia sudah memenuhi syarat yang lain.

Oleh itu, seorang wanita yang hendak pergi menunaikan haji hendaklah ditemani suami atau mahram atau teman wanita yang dipercayai. Sepanjang berada di tanah suci, mereka tidak dinasihatkan keluar bersendirian daripada tempat tinggal sama ada ke masjid, menunaikan umrah, ziarah atau sebagainya demi menjaga keselamatan dan mengelakkan fitnah serta sebarang kemungkinan tidak diingini.

Jika seseorang jemaah wanita hendak menunaikan umrah atau ziarah, sedangkan suami atau mahramnya tidak dapat pergi bersama, maka dia hendaklah memilih teman wanita yang boleh dipercayai. Jemaah lelaki bukan mahram tidak boleh dijadikan teman untuk tujuan berkenaan.

Haid

Haid adalah fenomena biasa dalam kehidupan wanita. Kedatangannya pada setiap bulan satu daripada ciri kewanitaan yang tulen serta lambang kesuburannya. Haid tidak menghalang wanita daripada mengerjakan semua rukun dan wajib haji atau umrah kecuali tawaf di Baitullah.

Aisyah meriwayatkan: "Kami keluar dari Madinah menuju ke Makkah untuk menunaikan haji. Apabila kami tiba di Saraf, aku didatangi haid. Rasulullah SAW masuk menemuiku ketika aku sedang menangis. Baginda bertanya: Kenapa kamu menangis? Adakah kamu didatangi haid? Aku menjawab: "Ya! Maka Baginda bersabda maksudnya: Sesungguhnya perkara ini (haid) sudah ditentukan Allah ke atas anak perempuan Adam. Maka, tunaikanlah apa saja yang biasa dikerjakan oleh seseorang yang mengerjakan haji, kecuali tawaf di Baitillah sehingga kamu suci." (Sahih al-Bukhari)

Berdasarkan hadis itu, amalan selain tawaf seperti berniat haji atau umrah, wukuf di Arafah, sa'ie, mabit di Muzdlifah dan melontar jamrah boleh dilaksanakan.

Wanita yang didatangi haid pada masa mengerjakan haji dan umrah berada dalam keadaan berikut:

- Wanita yang mengerjakan Haji Tamattu'. Kemungkinan haid datang sebelum atau selepas berniat ihram umrah. Dia hendaklah menunggu hingga suci barulah disempurnakan umrah. Jika haid berterusan sehingga tiba waktu wukuf, hendaklah dia berniat ihram haji dan jadilah hajinya Haji Qiran dan diwajibkan dam Qiran.

- Wanita yang mengerjakan Haji Ifrad atau Haji Qiran. Dia hendaklah menyempurnakan semua kerja hajinya kecuali tawaf yang hanya boleh dilakukan selepas bersuci. Jika haid berterusan hingga tiba waktu berangkat keluar dari Makkah, dia mesti menunda tarikh keberangkatan sehingga suci dan mengerjakan tawaf.

Jika tidak mampu berbuat demikian, apabila sampai ke negerinya, maka dia boleh tahalul Ihsar dengan menyembelih seekor kambing dan bergunting dengan niat tahalul (tahalul Ihsar). Amalan kerja haji atau umrah yang belum ditunaikan wajib dilaksanakan pada masa akan datang.

- Kadangkala berlaku masalah darah keluar berselang hari. Berdasarkan Imam Syafi'e, darah yang keluar berselang hari tidak melebihi 15 hari 15 malam adalah dikira darah haid. Tempoh itu dikira sebagai tempoh haid.

Contohnya, hari pertama hingga kelima darah keluar berturut-turut, hari keenam tidak keluar, kemudian hari ketujuh hingga kesepuluh keluar lagi, ke-11 dan 13 berhenti kemudian, 14 dan ke-15 keluar semula. Darah yang keluar selepas itu adalah dikira istihadah.

Jika jemaah wanita berniat ihram umrah, kemudian dia didatangi haid, maka selepas dia melihat darah tidak keluar pada hari kelima, dia bersuci lalu pergi mengerjakan tawaf, sa'ie dan tahalul. Tiba-tiba pada waktu malam dia mendapati darah haidnya keluar semula. Dalam keadaan ini tahallulnya tidak sah. Dia mesti ulangi semula tawaf, sa'ie dan tahalul apabila sudah suci dari haid. Dia juga dikenakan Dam Takhyir dan Taqdir kerana mengerat rambut sebelum tiba masanya.

Ada pandangan kedua dalam Mazhab Syafi'e, tempoh bersih antara haid itu (dikenali sebagai Fatrah Niqa') dikira tempoh suci dan sah amal ibadat dengan syarat tempoh suci itu tidak kurang dari 24 jam.

Umpamanya pukul 12 tengah hari dia bersuci kemudian menyelesaikan umrahnya. jam 3 petang hari berikutnya darah keluar semula, maka umrahnya itu sah. Namun, jika darah keluar sebelum pukul 12 tengah hari berikutnya, maka umrahnya tidak sah.

INTI PATI

  • Wanita yang hendak pergi menunaikan haji hendaklah ditemani suami
    atau mahram. Jika suami atau mahramnya tidak dapat pergi bersama, maka
    dia hendaklah memilih teman wanita yang boleh dipercayai.

  • Wanita yang mengerjakan Haji Tamattu' kemungkinan haid datang sebelum
    atau selepas berniat ihram umrah, dia hendaklah menunggu hingga suci
    barulah disempurnakan umrah.

  • Wanita yang mengerjakan Haji Ifrad atau Haji Qiran, dia hendaklah
    menyempurnakan semua kerja hajinya kecuali tawaf yang hanya boleh
    dilakukan selepas bersuci.

  • Wanita yang mengerjakan Haji Ifrad atau Haji Qiran, dia hendaklah
    menyempurnakan semua kerja hajinya kecuali tawaf yang hanya boleh
    dilakukan selepas bersuci.

  • Wanita yang mengerjakan Haji Ifrad atau Haji Qiran, dia hendaklah
    menyempurnakan semua kerja hajinya kecuali tawaf yang hanya boleh
    dilakukan selepas bersuci.

  • Jika jemaah wanita berniat ihram umrah, kemudian dia didatangi haid,
    maka selepas dia melihat darah tidak keluar pada hari kelima, dia bersuci
    lalu pergi mengerjakan tawaf, sa'ie dan tahalul. Tiba-tiba pada waktu
    malam dia mendapati darah haidnya keluar semula. Dalam keadaan ini
    tahalulnya tidak sah.

  • Berdasarkan Mazhab Syafi'e, tempoh bersih antara haid itu (dikenali
    sebagai Fatrah Niqa') dikira tempoh suci dan sah amal ibadat dengan
    syarat tidak kurang dari 24 jam.


  • Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.