Rasa was-was sebahagian ujian di tanah suci
"CUKUP ke tidak pusingan tawaf aku ini? Aku rasa macam sudah batal wuduk...." Itulah sebahagian contoh keluhan dan rasa waswas di kalangan jemaah haji semasa melaksanakan ibadat haji.
Sikap ragu-ragu atau was-was sering kali dihadapi jemaah haji dalam menyempurnakan ibadat haji. Timbul was-was ini kadangkala semakin menjadi-jadi ketika di tanah suci. Inilah sebahagian ujian ketika menunaikan ibadat di tanah suci.
Ada juga jemaah haji yang dibelenggu sikap waswas setelah selesai melaksanakan ibadat haji iaitu pada saat akhir sebelum bertolak pulang ke tanah air. Contoh gangguan was-was yang berlaku di kalangan jemaah haji:
Ketika tawaf atau sa'ie, tidak yakin pusingan ke berapa.
Batal wuduk atau tidak.
Tidak yakin bilangan lontaran anak batu ke dalam jamrah.
Tidak yakin sudah berniat haji atau belum.
Jika timbul masalah was-was mengenai bilangan tawaf, sa'ie atau
lontaran anak batu ke dalam jamrah, hendaklah dilebihkan atau ditambahkan
bilangan itu. Ini sebagai mekanisme untuk meyakinkan diri. Jangan sama sekali selesai ibadat, baru rasa tidak yakin.
Menurut Wahid Abdul Salam Bali dalam bukunya Wiqayah al-Insan min
al-Jin wa Syaitan "kata Ibni Qayyum: Waswas ialah bisikan suara halus
tersembunyi yang tidak disedari sehingga tidak dapat dielakkan
daripadanya. Waswas itu adalah bisikan dalaman yang lahir dari seseorang
sama ada dalam berbentuk suara hati yang tidak didengar melainkan bagi
yang menghidapinya, ataupun waswas itu ditakrifkan sebagai bisikan
syaitan yang mengganggu perasaan dan hati seseorang manusia."
Imam Muslim meriwayatkan dalam sahihnya daripada Abi al-A'la
(bermaksud): Othman bin Abi al-As datang kepada Rasulullah SAW seraya
berkata, "Ya Rasullullah! Saya diganggu selalu oleh syaitan ketika
sembahyang dan ketika membaca bacaannya". Rasulullah SAW bersabda:
"Syaitan yang mengganggumu itu namanya Khanzab . Bila kamu terasa akan
adanya gangguan itu hendaklah kamu memohon perlindungan daripada Allah
dan ludahlah tiga kali di kirimu. Lalu aku perbuat apa yang disuruh
Rasullullah SAW, maka hilanglah waswas dari diriku."
Muhamad Ibrahim Salim dalam bukunya at-Tadawi bil-Qur'an, ketika
mentafsirkan surah an-Naas, ayat 5 menyatakan: "Waswas adalah suara
dalaman dan bisikan jahat yang tercetus dalam diri kata-kata buruk yang
tersembunyi. Tetapi akan segera hilang apabila seseorang mengingati
Tuhannya, manakala ia lupakan Tuhannya waswas itu akan datang semula."
Mereka yang terjebak dalam penyakit ini dan tidak berusaha untuk
menghindarkannya, maka ia pasti akan terjerumus ke dalam perangkap
syaitan.
Allah SWT menjelaskan bahawa syaitan yang menyebabkan manusia merasa
was-was itu namanya "Khannas". Oleh itu, orang yang berpenyakit waswas
hendaklah memohon perlindungan dan pertolongan dari Allah SWT sehingga
terpeliharalah ia daripada gangguan syaitan Khannas itu. Dan
terselamatlah ia daripada waswas yang mengheretnya kepada kesudahan yang
tidak baik."
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Ketahuilah bahawa dalam tubuh
badan seseorang ada seketul darah, apabila ia baik, maka baiklah seluruh
badannya, dan jika ia rosak maka rosaklah pula seluruh badannya.
Ketahuilah itulah hati."
Hati yang rosak, rapuh, tidak teguh benteng pertahanannya kerana kurang
takwanya, terlalu sedikit zikru Allah (mengingati Allah dalam hidup
sehariannya) akan mudah digoda, diganggu dan diwaswaskan oleh syaitan
kerana syaitan boleh menusuk ke dalam hati setiap seorang melalui
perjalanan darah ke hati (jantung), hingga dengannya akan roboh kota imannya.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Bahawa syaitan berjalan dari
anak Adam pada tempat jalan darahnya. Maka sempitkanlah tempat jalannya
dengan lapar." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Hadis ini membawa maksud bahawa syaitan berjalan keluar masuk ke dalam
hati yang menyebabkan was-was dan keraguan adalah melalui darahnya.
Kerana itu hendaklah dipersempitkan tempat ia berjalan itu dengan
berpuasa.
Tiga saluran atau cara yang dilalui syaitan bagi mewaswaskan manusia
iaitu:
Pancaindera
Hati
Otak
Lima pancaindera adalah deria atau alat perasa yang lima (deria rasa,
bau, dengar, lihat dan sentuh) dengan alat iaitu lidah, hidung, telinga,
mata, tangan dan lain-lain.
Hati terikat dengan perkara dunia hingga mengganggu tumpuan. Apabila
hati hilang tumpuan pada sesuatu perkara menyebabkan ia kehilangan
pedoman dalam beramal lalu menimbulkan kesangsian waswas mengenai amalan
dilakukannya.
Otak atau akal tidak diisi dengan hikmah dan yakin. Bila akal tidak
diisi dengan hikmah dan yakin bahkan dibiarkan kosong akan mudahlah
was-was menyerang kerana tidak ada pengawal yang mengawasi.
Antara punca waswas:
Beramal tanpa ilmu.
Terlalu teliti pada sesuatu amal yang dilakukan.
Pengaruh luaran melalui pancaindera.
Hati tidak tenang, rasa sangsi, hilang konsentrasi.
Hilang keyakinan diri dan tidak segera kembali kepada Allah (memohon
keampunan dan pertolongan Allah).
Terlalu mengikut rasa.
Kurang Zikru Allah, membaca al-Quran, selawat ke atas Rasulullah SAW.
Kurang membaca al-istiazah dan al-basmalah ketika melakukan pekerjaan.
Bila terasa tumpuan mula terganggu, tidak segera berta'uz (aku berlindung dengan Allah SWT).
Kurang mendekati ahli ilmu.
Program latihan terancang (cara mengatasi waswas):
Hendaklah menyediakan diri mengikut perintah Allah
Ingatlah Allah memberikan kemudahan dan keluasan hukum ke atas
hambanya bagi melaksanakan ibadat.
Pada permulaan latihan bolehlah diikuti yang amal betul untuk
beribadat.
Selepas penyakit was-was hilang mulalah beribadat mengikut hukum yang
betul.
Laksanakan yang wajib dan ditambah yang sunatnya.
Hendaklah sentiasa mendampingi guru yang murshid (diterima)
Mengubati penyakit waswas. Selain daripada dinyatakan, antara ikhtiar
mengubati penyakit was-was itu ialah :
Mengekalkan membaca al-Quran. Apabila tiba ayat sujud yang ada pada
15 tempat di dalam al-Quran hendaklah dilakukan sujud tilawah.
Amalkan sebelum tidur membaca surat al-Ikhlas, al-Falaq, al-Naas,
al-Fatihah dan ayat al-Kursi, tiga kali kemudian hembuskan ke tapak
tangan lalu diusapkan ke seluruh badan.
Amalkan sebelum tidur, aku berlindung dengan kalimat Allah yang
sempurna dari kemurkaan dan balasan dan daripada kejahatan orang dan
kehadiran syaitan dan juga setelah bangun dari tidur.
Bila terasa di dalam hati sesuatu yang mewaswaskan, baca: "Aku
berlindung dengan Allah yang Maha Mendengar dan Maha Mengetahui daripada
Syaitan yang direjam" tiga kali dan isyarat ludahlah di sebelah kiri.
Bila memulakan sembahyang bacalah surah an-Naas.
Baca surat Ghafir (al-Mu'min) sebelum tidur dan ketika berbaring dan
tidur banyakkan membaca selawat ke atas Rasulullah SAW hingga tertidur.
Tidurlah dalam keadaan badan yang suci.
Bangun tidur, puji dan ingatlah Allah serta pohonkan perlindungan
Allah daripada tipu daya syaitan.
Amalkan membaca dua ayat akhir surah al-Baqarah, dua ayat akhir surah
at-Taubah dan empat ayat terakhir surah al-Hasyr, pagi dan petang.
Tambahkan ilmu dan beramalah dengan ilmu yang dipelajari - ilmu itu
mestilah bersumber kepada al-Quran dan al-Hadis.
INTI PATI
Perasaan was-was
Allah SWT menjelaskan bahawa syaitan yang menyebabkan manusia merasa was-was itu namanya "Khannas".
Bisikan suara halus tersembunyi tidak disedari sehingga tidak dapat dielakkan daripadanya.
Penulis ialah Pengurus Besar (Bimbingan) Lembaga Tabung Haji
|