Kumpulan pertama jemaah haji pulang
Oleh Haika Khazi
SEPANG: Kumpulan pertama 376 daripada 26,000 jemaah haji Malaysia selamat tiba ke tanah air awal pagi semalam selepas kira-kira sebulan berada di Tanah Suci untuk urusan ibadat musim ini yang disifatkan Tabung Haji sebagai baik dan lancar.
Malah, Kerajaan Arab Saudi memperakui jemaah haji Malaysia adalah yang paling berdisiplin di kalangan kira-kira tiga juta jemaah haji dari seluruh dunia.
Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Ismee Ismail, berkata pihaknya amat menghargai disiplin yang ditunjukkan dan kerjasama yang diberikan jemaah haji negara sehingga membolehkan segala urusan di Kota Suci berjalan lancar.
"Kami amat bersyukur kerana urusan haji tahun ini berjalan lancar. Tabung Haji amat berterima kasih kepada semua jemaah kerana memberi kerjasama baik. Kalau ada apa-apa kekurangan dari pihak petugas, kami mohon maaf," katanya kepada pemberita sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, semalam.
Ismee kembali ke tanah air bersama kumpulan pertama jemaah haji negara dengan Penerbangan Malaysia (MAS) MH8201 jam 4.52 pagi semalam. Mereka berlepas dari Lapangan Terbang Raja Abdul Aziz, Jeddah, kira-kira 3.30 petang waktu Arab Saudi (8.30 malam waktu Malaysia).
Ismee berkata, bilangan kematian jemaah haji negara pada musim kali ini juga menurun kepada hanya 34 orang berbanding 90 orang tahun lalu manakala 125 lagi masih dirawat di Hospital Tabung Haji di Makkah akibat pneumonia dan batuk berpanjangan.
Beliau berkata, 25 jemaah haji negara meninggal kerana sakit tua manakala selebihnya akibat komplikasi pelbagai penyakit, termasuk serangan jantung, dengan 15 meninggal dunia sebelum sempat melakukan wukuf, lima ketika wukuf dan selebihnya selepas wukuf.
"Alhamdulillah, jumlah kematian tahun ini berkurangan berbanding tahun lalu. Ini mungkin kerana cuaca pada musim haji tahun ini lebih baik berbanding musim lalu," katanya sambil menambah jenazah mereka dikebumikan sama ada di Makkah atau Madinah.
Mengulas lanjut, Ismee berkata, 125 jemaah haji negara yang masih dirawat di Hospital Tabung Haji berada dalam keadaan stabil dan tidak membimbangkan.
"Sehubungan itu, saya mohon keluarga jemaah terbabit supaya bersabar dan tidak terlalu risau," katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar Jabatan Haji dan Sewa Khas MAS, Kapten Nik Huzlan Nik Hussain, berkata penerbangan pulang jemaah haji ke tanah air sehingga 24 Januari ini membabitkan 44 penerbangan menggunakan dua pesawat Boeing 747 dan sebuah pesawat Boeing 777.
|