Bersyukur tunai Rukun Islam kelima
SEPANG: “Saya bersyukur dan gembira kerana dapat menunaikan ibadat haji dengan sempurna walaupun terpaksa menempuh pelbagai dugaan dan halangan," kata Adam Shah Shahidan, 12, seorang daripada 376 jemaah haji Malaysia kumpulan pertama yang selamat kembali ke tanah air semalam.
Adam yang juga anak ketujuh Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim, berkata beliau bukan saja beberapa kali kehilangan kasut, tetapi juga terpaksa berjalan sejauh tiga kilometer ke Mina apabila bas yang dinaiki dari Muzdalifah terkandas dalam kesesakan lalu lintas selain bersesak ketika melakukan tawaf dan saie.
Namun, murid Sekolah Kebangsaan Taman Ilmu dan Bahasa, Gombak, Selangor, itu berkata pengalaman menunaikan haji mengajar beliau untuk sentiasa berusaha bersungguh-sungguh dan bersabar dalam menempuh dugaan hidup.
"Walaupun terpaksa bersesak dengan ratusan ribu manusia dan sering ditolak jemaah lain, saya tetap bersabar kerana menyedari ia adalah antara dugaan yang perlu saya hadapi," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, semalam.
Adam menunaikan haji bersama ibu bapanya, Shahidan dan Datin Seri Shamsiah Yasin, 50, serta abangnya, Mohd Afif, 14.
Sementara itu, seorang warga emas dari Tanah Merah, Kelantan, Fatimah Dollah, 75, berkata beliau bersyukur dan bergembira kerana dipanjangkan umur dan dapat bertemu semula dengan keluarganya selepas berpisah lebih sebulan.
"Alhamdulillah, makcik dapat menyempurnakan ibadat ini walaupun terpaksa menggunakan kerusi roda dan dibantu anak lelaki makcik. Pada masa sama makcik berharap dan sentiasa berdoa semua jemaah yang menunaikan Rukun Islam kelima ini akan dianugerahkan Haji Mabrur," katanya yang kali pertama menunaikan haji.
Wan Jusoh Wan Abdullah, 67, yang sudah dua kali mengerjakan haji pula menyifatkan urusan kali ini lebih teratur berikutan pelbagai perubahan di Tanah Suci, berbanding ketika kali pertama beliau menunaikan ibadat itu 18 tahun lalu.
"Kali ini semua ibadat di Tanah Suci dapat dilaksanakan dengan selesa, tiada kejadian tolak menolak atau berebut-rebut sehingga menyebabkan kejadian buruk, masing-masing sedia maklum tujuan sebenar mereka ke Tanah Suci," katanya.
Wan Jusoh yang berasal dari Marang, Terengganu, juga bersyukur kerana usaha mengumpul wang selama beberapa tahun dengan mengusahakan tanaman kelapa sawit dan getah membolehkan beliau membawa isteri dan anak perempuannya mengerjakan haji tahun ini.
|