'Tiada jemaah Malaysia kandas'
Kelewatan sampai ke Mina punca daripada kesesakan, bukan kegagalan Tabung Haji
MAKKAH: Kelewatan jemaah haji Malaysia tiba di Mina baru-baru ini di luar kawalan Tabung Tabung haji kerana ia berpunca daripada kesesakan teruk di jalan raya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Abdullah Md Zin.
Ketika mengulas laporan akhbar mengenai perkara itu, beliau berkata ada kelancaran perjalanan jemaah haji dari Muzdalifah ke Mina, tetapi bukan kegagalan atau kesilapan perancangan Tabung Haji.
“Hanya 6,000 jemaah haji Malaysia yang lewat,” katanya sambil menambah bilangan itu adalah kecil berbanding 26,000 jemaah haji Malaysia menunaikan haji tahun ini.
“Kelewatan bukan dialami jemaah haji Malaysia saja, malah jemaah dari seluruh dunia,” katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan ibadat haji musim 1428 Hijrah di Ibu Pejabat Tabung Haji Makkah, di bangunan Al-Janadiriah di sini, semalam.
Abdullah berkata, jemaah Malaysia paling lewat sampai di khemah jemaah di Muassim di Mina ialah jam 12 tengah hari pada 10 Zulhijjah selepas bertolak dari Muzdalifah kira-kira 12 tengah malam itu.
Kesesakan jalan raya teruk berlaku pada 10 Zulhijjah apabila kira-kira tiga juta jemaah meninggalkan Arafah selepas berwukuf menyebabkan perjalanan dengan bas dari Muzdalifah ke Mina sejauh 6.9 kilometer mengambil masa hingga 12 jam.
Perjalanan dari Arafah ke Muzdalifah sejauh kira-kira lapan kilometer sebelum itu dianggap lancar dengan hanya mengambil masa kira-kira dua jam.
Ramai jemaah haji dari seluruh dunia mengambil keputusan meninggalkan bas yang ‘terkandas’ dalam kesesakan dan berjalan kaki sehingga menyebabkan kesesakan bertambah teruk apabila ratusan ribu jemaah memenuhi jalan raya.
Abdullah berkata, beliau difahamkan kesesakan berpunca daripada tindakan segelintir jemaah yang tidak berkenaan menceroboh lebuh raya yang dikhaskan untuk bas ulang alik hanya membawa jemaah haji Asia Tenggara saja di bawah sistem ‘Taraddudiah’.
Mereka merobohkan pagar yang memisahkan lebuh raya biasa yang digunakan jemaah haji negara lain dengan lebuh raya Taraddudiah yang terletak bersebelahan.
Beliau berkata, walaupun pengangkutan jemaah Malaysia dari Arafah ke Muzdalifah dan seterusnya ke Mina menjadi tanggungjawab pihak Muassasah (pihak berkuasa haji Arab Saudi), Tabung Haji segera mengambil langkah menyelesaikan masalah kelewatan ke Mina sejurus dimaklumkan.
Katanya, bas yang mengangkut jemaah haji disediakan pihak Muassasah juga berusaha bersungguh-sungguh mengatasi masalah..
Abdullah berkata, secara umumnya ibadat haji tahun ini berjalan lancar dan hingga hari tasyriq yang ketiga kelmarin atau pada 13 Zulhijjah (22 Disember) semua jemaah Malaysia selamat kembali semula ke Makkah selepas wukuf di Arafah pada 9 Zulhijjah (18 Disember) dan melontar Jamrah di Mina pada 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah.
Beliau berkata, Tabung Haji akan mengkaji semua masalah dan kes yang diadukan pada musim haji tahun ini untuk penambahbaikan pada masa depan.
Katanya, semua cadangan bagi penambahbaikan akan dikemukakan kepada kerajaan Arab Saudi pada pertemuan dengan perwakilan negara Islam pada Mei atau Jun tahun depan. – Bernama
|