Malaysia minta kuota haji 27,000
ARAFAH: Malaysia akan mengemukakan permohonan rasmi kepada kerajaan Arab Saudi supaya kuota jemaah haji negara bagi tahun depan ditambah kerana bilangan penduduknya sudah meningkat kepada 27 juta orang berbanding 26 juta sebelum ini.
"Berdasar apa dipersetujui OIC (Pertubuhan Persidangan Islam), kuota bagi negara Islam menghantar jemaah ialah 0.1 peratus daripada jumlah penduduk sesebuah negara," kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Mohamed Zin kepada wartawan Malaysia sementara menunggu masuknya waktu wukuf di Padang Arafah, 21.9 kilometer dari Makkah.
Berdasarkan kuota sekarang dan bilangan penduduknya, Malaysia menghantar 26,000 jemaah haji ke Makkah tahun ini.
Abdullah berkata, permohonan rasmi bagi penambahan kuota jemaah haji Malaysia itu akan dikemukakan kepada kerajaan Arab Saudi pada Mei tahun depan.
"Kalau diluluskan kerajaan Arab Saudi bermakna kita akan dapat menghantar 27,000 jemaah pada tahun depan (musim haji 1429 Hijrah/2008)," katanya.
Beliau berkata kini ada senarai menunggu yang panjang di kalangan rakyat Malaysia dengan lebih 200,000 orang yang mendaftar untuk menunaikan fardu haji bagi tempoh beberapa tahun akan datang.
"Keutamaan diberi kepada mereka yang tua dan mereka yang belum pernah mengerjakan haji," kata Abdullah.
Beliau menasihatkan rakyat Malaysia yang ingin segera ke Makkah supaya mengerjakan umrah.
"Menteri Haji Arab Saudi sendiri ketika pertemuannya dengan saya mahu jemaah umrah dari Malaysia dipertingkatkan," katanya.
Waktu berwukuf di sini ialah pada jam 12.18 tengah hari (5.18 petang waktu Malaysia) semalam (18 Disember bersamaan 9 Zulhijjah) hingga terbit matahari hari ini. Bernama
Ada 80 jemaah haji Malaysia yang sakit dibawa melintasi kawasan Arafah dalam dua bas sebagai memenuhi rukun haji. Tiada jemaah Malaysia yang terpaksa dibawa melintasi Arafah menaiki ambulans.
Setakat ini 15 jemaah haji Malaysia meninggal dunia, 13 daripadanya di Makkah, seorang di Madinah dan seorang di Arafah. - Bernama
|