Seri Paduka doa jemaah selamat
MAKKAH: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah semalam mendoakan agar seluruh jemaah haji Malaysia dapat menjalankan ibadat haji dalam keadaan sempurna, selesa dan selamat serta mendoakan mereka memperoleh haji mabrur.
Tuanku Mizan turut berpesan supaya jemaah haji Malaysia menjaga kesihatan kerana ia lebih penting dalam memastikan ibadat mereka tidak terganggu.
“Beta juga ingin menasihati jemaah haji semua supaya bersabar dalam menghadapi segala ujian,” titah Seri Paduka pada majlis ramah mesra Baginda dan Raja Permaisuri Agong dengan jemaah haji Malaysia di Maktab 99 di Hotel Sevilla Barakat di sini, semalam. Tuanku Mizan dan Tuanku Nur Zahirah turut melawat klinik disediakan untuk jemaah haji Malaysia di maktab itu.
Seri Paduka berdua yang turut menunaikan haji pada tahun ini juga berharap agar semua jemaah haji Malaysia selamat dan sihat walafiat sewaktu di sini dan sehingga mereka pulang ke tanah air nanti.
Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi turut mengucapkan selamat mengerjakan ibadat wukuf kepada seluruh jemaah haji Malaysia di samping mendoakan agar mereka mendapat haji mabrur.
Ucapan Perdana Menteri itu disampaikan melalui telefon kepada Setiausaha Politiknya, Datuk Reezal Marican Naina Marican yang kini berada di Tanah Suci untuk menunaikan fardu haji bersama jemaah haji Malaysia yang lain.
Semua jemaah haji akan bergerak meninggalkan Makkah menuju ke padang Arafah mulai selepas waktu Zuhur hari ini (Isnin) untuk mengerjakan ibadat wukuf pada Selasa sementara Aidiladha akan disambut di sini pada Rabu.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zin, berkata keberangkatan Seri Paduka untuk beramah mesra dengan jemaah haji Malaysia di sini menunjukkan kasih sayang dan keprihatinan baginda kepada rakyat jelata.
Beliau juga berkata, Tabung Haji akan terus berusaha mempertingkatkan perkhidmatannya kepada jemaah haji sejak sebelum berangkat dari tanah air, sewaktu di Tanah Suci dan sehinggalah mereka pulang.
Setakat ini, katanya, Tabung Haji telah menyediakan kemudahan selesa untuk jemaah haji dengan menyediakan hotel yang besar, lengkap dengan pelbagai kemudahan. - Bernama
|