3 juta di Makkah
MAKKAH: Hampir tiga juta jemaah haji dari seluruh dunia kini memenuhi kota Makkah, tiga hari menjelang hari wukuf.
Kira-kira sejuta daripada mereka memenuhi setiap ruang Masjidil Haram di sini untuk menunaikan solat Jumaat kelmarin, solat Jumaat terakhir sebelum seluruh jemaah haji bergerak ke Padang Arafah mulai Isnin ini untuk menunaikan ibadat wukuf pada Selasa, 18 Disember.
Kesesakan sama berlaku di Masjidil Haram setiap kali masuk waktu solat fardu dengan jutaan jemaah haji, ramai daripada mereka berpakaian ihram, berpusu-pusu dan bersesak-sesak ke Masjidil Haram beberapa jam sebelum masuk waktu sembahyang untuk mendapat tempat bersembahyang seberapa hampir dengan Kaabah.
Jemaah yang tiba lewat pula tetap membentang sejadah untuk bersolat di mana saja ada ruang di sekitar masjid termasuk di luar masjid seperti di atas jalan raya, di kaki lima kedai, di laluan saie dan lorong di sekitar Masjidil Haram.
Menurut laporan akhbar tempatan kira-kira tiga juta jemaah akan mengerjakan ibadat haji selama lima hari bermula Isnin ini. Kira-kira setengah juta daripada mereka adalah rakyat Arab Saudi.
Kemuncak ibadat haji ialah wukuf di Arafah, terletak kira-kira 21.9km dari kota Makkah, Selasa ini.
Ibadat haji adalah perhimpunan terbesar umat Islam di dunia dengan lebih 100 negara menghantar jemaah haji masing-masing ke Makkah untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu. Antara rombongan haji terbesar adalah dari negara Islam yang mempunyai penduduk Islam teramai di dunia seperti Indonesia, India, Bangladesh, Pakistan, Turki dan Mesir.
Selain itu, 170,000 jemaah haji adalah dari 47 negara Afrika dengan Nigeria menghantar jemaah paling ramai iaitu kira-kira 95,000 jemaah tahun ini diikuti Senegal dengan 15,000 jemaah manakala Afrika Selatan 5,500 jemaah, menurut satu laporan lain.
Pihak keselamatan Arab Saudi dilapor mengadakan kawalan ketat bagi mencegah rakyatnya dan juga rakyat asing yang tidak ada kebenaran menunaikan haji tahun ini berbuat demikian secara haram.
Satu daripada kebimbangan pihak berkuasa Arab Saudi ialah kejadian rempuhan yang boleh menyebabkan ribuan jemaah mati terpijak seperti yang pernah berlaku sebelum ini.
Sejumlah 11,000 doktor, jururawat dan petugas paramedik diletak dalam keadaan berjaga-jaga di seluruh kota Makkah yang mempunyai 21 hospital dan 145 pusat perubatan dengan bilangan katil sebanyak 4,200 buah.
Ramai ketua negara Islam juga dilapor akan menunaikan haji tahun ini termasuk Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah yang tiba di Jeddah semalam. Antara ketua negara lain ialah Presiden Iran Mahmoud Ahmadinejad. - Bernama
|