Muka Depan | Berita | BicaraHaji | SoalJawab | BH | HM 
Panduan Haji & Umrah
Bil 
Tajuk
1 Talbiah
2 Rukun dan Wajib Haji
3 Niat Mengerjakan Haji
4 Peta Miqat Haji dan Umrah
5 Wuquf di Arafah
6 Zikir-Zikir pada Hari Wukuf
7 Tawaf dan Pengertian
8 Panduan Permulaaan dan Penghabisan Tawaf
9 Kedudukan Ka'bah
10 Sa'ie dan Pengertian
11 Kedudukan Safa & Marwah
12 Larangan-Larangan Dalam Masa Ihram
13 Bermalam (Mabit) di Muzdalifah
14 Syarat-Syarat Melontar
15 Melontar Jamratul Aqabah pada 10 Zulhijjah (Hari Nahar) di Mina
16 Bermalam (Mabit) di Mina
17 Melontar Jamarat pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah di Mina (pada hari-hari Tasyriq)
18 Rukun dan Wajib Umrah
19 Niat Mengerjakan Umrah
20 Jenis-Jenis Haji
21 Ringkasan Cara-Cara Mengerjakan Haji
22 Tawaf Wada' dan Hukumnya
23 Dam
24 Dam Ihsar
25 Ziarah Madinah
26 Nama dan Nombor Pintu-Pintu Masjid Nabawi
BERITA:
Penyediaan maklumat secara berkesan kurangkan jemaah haji hilang


MAKKAH: Penyediaan maklumat secara berkesan dan mencukupi kepada jemaah haji dapat mengurangkan kes jemaah haji tersasar atau tersesat jalan ketika pulang ke tempat penginapan masing-masing dari Masjidil Haram, kata Pengurus Maktab 93 di sini, Mohd Najib Ab Jabar.

"Walaupun kes jemaah haji tersasar atau tersesat jalan tidak dapat dihapuskan seratus peratus tetapi dengan penyediaan maklumat yang berkesan dan mencukupi, kes seumpama itu dapat dikurangkan ke tahap minimum," katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan ibadah haji bagi musim haji 1428 Hijrah di sini, Selasa.

Katanya mengikut definisi pengurusan haji Malaysia, jemaah haji yang tidak menjumpai jalan pulang ke tempat penginapan masing-masing dari Masjidil Haram dalam tempoh kurang dari 24 jam dianggap "tersasar" dan mereka hanya dianggap "tersesat" jika tempoh kehilangan mereka melebihi 24 jam.

Beliau berkata kes jemaah haji tersasar amat kurang pada tahun ini berbanding tahun-tahun sebelum ini manakala kes jemaah haji tersesat pada tahun ini belum ada dilaporkan di Maktab 93 setakat ini. Beliau bagaimanapun tidak dapat memberikan angka kes jemaah haji tersasar yang dilaporkan setakat ini.

"Jumlah haji yang tersasar kurang tahun ini kerana mereka sudah dibekalkan dengan info (maklumat) yang antara lain mengandungi senarai nama pengurusan maktab, nombor-nombor telefon penting, peta jalan dan alamat maktab, bangunan yang menjadi mercu tanda dan peringatan-peringatan penting.

"Penyediaan info ini adalah penambahbaikan yang kita lakukan yang didapati dapat mengurangkan kes-kes jemaah haji tersasar dan tersesat," kata beliau.

Mohd Najib berkata jemaah haji yang tersasar seringkali didapati mengikut jemaah haji Malaysia lain pulang ke maktab jemaah haji Malaysia di tempat lain dan sebaik dimaklumkan mengenai di mana mereka berada petugas akan dihantar untuk menjemput mereka pulang ke maktab mereka.

"Ada juga kes jemaah beriktikaf (duduk di dalam masjid untuk beribadat) lama di masjid tetapi lupa memberitahu rakan sebilik menyebabkan rakan sebilik yang prihatin menyangka mereka hilang dan melaporkan 'kehilangan' itu kepada Tabung Haji," katanya.

Beliau berkata sekiranya terdapat kes jemaah haji benar-benar tersesat dan hilang melebihi tempoh 24 jam, pihak pengurusan maktab biasanya akan menghubungi pihak Muassasah (pihak berkuasa haji Arab Saudi).

Jika jemaah yang hilang itu berada di pusat pengambilan jemaah haji hilang di Muassasah, pihak pengurusan maktab akan menghantar petugas untuk menjemput mereka pulang, katanya.

Selain itu, Mohd Najib berkata pengurusan maktab juga membekalkan maklumat mengenai jadual program ceramah agama dan program ziarah (lawatan) ke tempat-tempat bersejarah di sekitar Mekah seperti Arafah, Muzdalifah dan Mina yang dianjurkan oleh pihak Muassasah.

Katanya penyaluran maklumat secara berkesan sudah dapat mengurangkan masalah yang dihadapi oleh pihak pengurusan maktab berhubung aktiviti jemaah haji sehari-hari, misalnya dengan membekalkan mereka dengan maklumat mengenai jadual ceramah agama yang diadakan di maktab yang dapat membantu jemaah merancang masa yang sesuai untuk melakukan ibadat umrah wajib dan sunat serta ibadat wajib dan sunat yang lain.

Maktab 93 yang terletak di dua bangunan iaitu bangunan Abraj Al Janadiriah dan Alfarj Al Bade' 2 di sini adalah tempat penginapan untuk 2,454 orang jemaah haji Malaysia. - Bernama


Copyright 2007 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.