Jemaah bersedia ke Arafah
MAKKAH: Petugas Tabung Haji kini sibuk mengatur persiapan untuk pergerakan jemaah haji Malaysia dari Makkah ke Arafah, seterusnya ke Muzdalifah dan Mina dan kembali ke Makkah bagi menyempurnakan ibadah haji tahun ini.
Pengarah Operasi Masya’er (Arafah/Mina), Zakaria Yet, berkata pergerakan jemaah haji dari Makkah ke Arafah akan bermula pada 8 Zulhijah dan dilakukan secara berperingkat mengikut jadual waktu yang ditetapkan oleh muassasah (pihak berkuasa haji Arab Saudi), biasanya selepas waktu Zuhur, Asar, Maghrib dan Isyak pada hari berkenaan.
Perjalanan sejauh 21.9 kilometer itu dijangka mengambil masa satu hingga dua jam.
“Jemaah haji akan melakukan wukuf di Arafah selepas waktu Zuhur pada 9 Zulhijah hingga terbit fajar 10 Zulhijah,” katanya kepada wartawan Malaysia, di sini, semalam.
Zakaria menjangkakan pergerakan jemaah haji Malaysia dari Arafah ke Muzdalifah dan seterusnya ke Mina tidak akan menghadapi masalah kesesakan lalu lintas yang teruk kerana bas yang membawa mereka akan menggunakan laluan ditetapkan di lebuh raya di bawah sistem Taruddudiah yang disediakan oleh kerajaan Arab Saudi bagi sektor Makkah-Arafah, Arafah-Muzdalifah, Muzdalifah-Mina dan Mina-Makkah.
Menerusi sistem itu hanya kenderaan yang membawa jemaah haji dari negara Asia Tenggara dibenarkan menggunakan laluan khas itu, manakala jemaah dari negara lain hanya dibenarkan menggunakan lebuh raya biasa bersebelahan tetapi dipisahkan oleh pagar dan pembahagi jalan.
Sistem ini yang diperkenalkan sejak beberapa tahun lalu berjaya mengurangkan masalah kesesakan jalan raya yang sering berlaku sebelum sistem itu diperkenalkan.
Zakaria berkata, selepas tengah malam pada 10 Zulhijah, jemaah akan dibawa dengan bas dari Muzdalifah ke Muassiem sejauh 6.9 kilometer untuk menyempurnakan ibadat melontar jamrah di Mina pada hari sama, yang juga dikenali sebagai Hari Nahar atau Hari Raya Haji, selepas jemaah selesai menunaikan ibadat wukuf di Arafah dan bermabit (bermalam) di Muzdalifah.
Jemaah akan bermabit di Mina pada hari berikutnya iaitu malam 11, 12 dan 13 Zulhijah dan melakukan ibadat melontar di ketiga-tiga jamrah iaitu Sughra, Wusta dan Kubra pada ketiga-tiga hari itu yang dipanggil Hari Tasyriq.
Beliau berkata, pergerakan jemaah haji Malaysia akan diatur muassasah mengikut maktab (tempat penginapan) masing-masing dan pengangkutan adalah menggunakan bas yang disediakan oleh agensi pengangkutan Arab Saudi, Nagabah.
Zakaria menasihati jemaah haji Malaysia supaya sentiasa mematuhi jadual ditetapkan untuk mereka bagi mengelak sebarang masalah kerana pergerakan itu membabitkan jumlah jemaah yang agak besar jumlahnya dengan purata 2,000 orang jemaah haji bagi sesebuah maktab.
Seramai 26,000 jemaah haji Malaysia berangkat menunaikan haji pada tahun ini menerusi penerbangan haji pertama pada 11 November lalu dan penerbangan terakhir pada 13 Disember ini.
|