Seorang jemaah kita mati sakit jantung
Oleh Amin Ridzuan Ishak
KUALA LUMPUR: Seorang jemaah haji negara, Kamal Abdul Rahman, 40, meninggal dunia akibat serangan jantung ketika hendak menunaikan solat Maghrib di Masjid Nabawi, Madinah, kelmarin.
Pengarah Operasi Haji Madinah, Tengku Aziz Raja Abdullah, berkata Allahyarham yang berasal dari Puncak Alam, Selangor tiba-tiba rebah ketika masuk ke Masjid Nabawi kira-kira jam 5 petang waktu tempatan (11 malam waktu Malaysia).
Katanya, rakan jemaah yang kebetulan bersamanya terus membawanya ke hospital Malaysia untuk menerima rawatan dan disahkan meninggal dunia selepas diperiksa kakitangan bahagian kesihatan.
“Jenazah disembahyangkan di Masjid Nabawi selepas solat Subuh pagi tadi (semalam) oleh kakitangan Tabung Haji dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Paqai’,” katanya dihubungi Berita Harian di Madinah, semalam.
Tengku Aziz berkata, keluarga Allahyarham di tanah air juga sudah dimaklumkan mengenainya.
Katanya, Allahyarham sebelum ini dilaporkan tidak pernah mengadu mengalami kesulitan atau masalah kesihatan sepanjang berada di Madinah.
Mengulas keadaan terkini jemaah haji negara di Madinah, beliau berkata, setakat ini, seramai 10,000 jemaah haji Malaysia sudah tiba di Madinah.
“Mereka (jemaah haji) berada dalam keadaan baik dan tidak ada seorang pun mengalami penyakit kritikal yang memerlukan mereka ditahan di hospital kerajaan Arab Saudi.
“Hanya empat orang daripada jemaah sedang dirawat di hospital Malaysia kerana kepenatan dan menghidap penyakit biasa seperti batuk serta selesema,” katanya.
Tengku Aziz berkata, keadaan itu berpunca daripada cuaca sejuk di Madinah sekarang dengan suhu antara 17 hingga 31 darjah Celsius.
“Ini berbeza berbanding dengan di Makkah yang kini sedang mengalami cuaca panas antara 23 hingga 33 darjah Celsius,” katanya.
Sementara itu, seramai 997 jemaah haji berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Madinah membabitkan dua penerbangan dan Jeddah (satu penerbangan) menggunakan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) serta Saudi Arabian Airlines.
Pegawai Operasi Bilik Gerakan Tabung Haji, Nor Ahmat Abdul Rahman, berkata penerbangan pertama dengan pesawat MH150 berlepas ke Jeddah jam 11.15 pagi dan tiba di Madinah jam 7.30 malam waktu tempatan (12.30 tengah malam waktu Malaysia).
“Penerbangan kedua menggunakan pesawat MH8030, berlepas ke Madinah jam 8.35 malam ini (tadi) dan dijangka tiba jam 1 pagi waktu tempatan (6 pagi waktu Malaysia).
“Penerbangan terakhir SV5009 berlepas jam 2.30 pagi ke Madinah yang dijangka tiba jam 6.45 pagi waktu tempatan (11.45 pagi waktu Malaysia),” katanya.
|