PENGERTIAN
Dam untuk tujuan melepaskan diri dari pantang larang ihram bagi seseorang yang sudah berniat ihram tetapi tidak dapat menyelesaikan rukun hajinya atau rukun umrahnya atau kedua-duanya.
SEBAB-SEBAB
Terhalang atau terkepung dalam perjalanan atau ketakutan dari musuh atau berpenyakit.
SEBAB-SEBAB LAIN
Dam Ihsar boleh diguna pakai untuk menyelesaikan masalah wanita yang datang haid dan tidak dapat melaksanakan Tawaf Haji atau Umrah kerana terpaksa balik segera ke tanah air. Begitu juga pesakit yang berpenyakit berat terpaksa segera dihantar balik ke Malaysia untuk rawatan lanjut (kedua golongan ini Haji atau Umrahnya belum selesai). Apabila wanita itu telah suci dan mandi hadath besar, begitu juga pesakit berat telah sembuh dari penyakitnya, hendaklah pergi lagi ke Tanah Suci Makkah menyelesaikan kerja-kerja haji atau umrahnya yang belum selesai.
CARA MELAKSANAKAN DAM IHSAR

Setelah keluar dari Mallah dua marhalah (91km) atau lebih atau setelah sampai ke tanah air hendaklah:

1. Menyembelih seekor kambing dan bercukur atau bergunting dengan niat Tahallul, dan daging sembelihan itu dibahagikan kepada fakir miskin tempatan.

2. Jika tidak mampu hendaklah membeli makanan dengan nilai seekor kambing dan bercukur atau bergunting dengan nita Tahallul, dan makanan itu dibahagikan kepada fakir miskin tempatan.

3. Jika tidak mampu juga hendaklah berpuasa beberapa hari sebanyak bilangan cupak makanan yang dapat dibeli dengan nilai seekor kambing (1 cupak = 1 hari) dan bercukur atau bergunting dengan niat Tahallul.

Dengan berpuasa dan bercukur atau bergunting dengan niat Tahallul Ihsar itu, maka terhasillah Tahallulnya sekalipun bilangan hari puasanya belum selesai.

CONTOH NIAT TAHALLUL IHSAR
1. Aku menyembelih kambing ini sebagai Dam Ihsar untuk Tahallul Nusuk ku.
2. Aku bercukur atau bergunting bagi Tahallul Nusuk ku.
3. Aku bersedekah makanan sebagai ganti menyembelih kambing Dam Ihsar untuk Tahallul Nusuk ku.
4. Aku puasa esok hari sebagai ganti menyembelih kambing Dam Ihsar untuk Tahallul Nusuk ku.
* Sebahagian dari Dam Tertib dan Ta'dil