Dua puluh empat pasukan sudah sahkan tempat ke grand final di Dataran Merdeka bulan depan
BAHANG grand final kejohanan +Cabaran adidas 2008 semakin terasa tatkala 24 pasukan daripada 32 kesemuanya sudah mengesahkan tempat untuk beraksi di Dataran Merdeka 11 Mei depan.
Hujung minggu lalu, pada pusingan ketiga yang berlangsung du Padang Polo, Pulau Pinang, lapan lagi pasukan bagi kategori Bawah 16 Tahun (B-16) memastikan tiket ke pusingan akhir yang menjanjikan buruan satu slot ke Vienna, Austria, Jun depan.
Di sebalik cuaca yang tidak menentu, sebanyak 44 pasukan B-16 mempamerkan kesungguhan mereka dalam usaha merebut peluang beraksi pada babak grand final nanti.
Lapan pasukan itu adalah Ada Ong, Cicakonyot 16, Shark Boyz Red, Bumi Alma A, SMK Sungai Acheh 16 B, SMK Guar Perahu 16 B, Perda Putra 16 B dan Suria FC 16.
Kesemua lapan pasukan itu masing-masing menerima baucar tunai barangan adidas bernilai RM1,400. Ia sebagai satu insentif buat setiap pasukan yang layak mempersiapkan pasukan sebelum beraksi pada grand final.
Pusingan akhir di Dataran Merdeka nanti hanya membabitkan pasukan B-16 sahaja bagi memilih johan yang akan mewakili Malaysia ke peringkat rantau Asia-Pasifik di Vienna sempena Kejohanan Bola sepak Euro 2008.
“Kejohanan sebegini dianjurkan oleh adidas sebagai satu medan buat mana-mana pasukan untuk turut meraih peluang mewakili negara ke peringkat antarabangsa.
“Selain sebagai satu pendedahan kepada mereka, kejohanan sebegini juga dapat menarik minat remaja untuk melakukan aktiviti berfaedah serta menonjolkan bakat yang ada dalam diri mereka.

“Setidak-tidaknya dengan peluang mewakili negara ke peringkat antarabangsa akan mendorong golongan remaja ini untuk lebih fokus serta berkeyakinan dalam bermain bola sepak,” kata Pengurus Pemasaran Sukan adidas Malaysia, Dunstan Cheng.
Katanya, adidas memperuntukkan sejumlah besar wang bagi penganjuran kejohanan sebegini setiap tahun untuk kejohanan di Malaysia serta menghantar juara ke kejohanan besar yang turut diadakan bersempena kejohanan bola sepak terunggul dunia.
Pada 2006 umpamanya, pasukan juara dihantar ke pertandingan di Berlin sempena Piala Dunia untuk berentap dengan 32 pasukan dari negara lain.
Tahun lalu pula, juara dihantar ke pertandingan akhir rantau Asia-Pasifik di Hong Kong.
Lapan lagi pasukan berpeluang untuk beraksi di Dataran Merdeka ketika penganjur membuka peluang kepada pasukan yang gagal pada pusingan pertama di Padang Merbok untuk mencuba nasib mereka.
Kepada pemain dan pasukan yang berminat menyertai kejohanan itu, boleh mendapatkan borang penyertaan melalui laman web www.sportsbarn.com.my atau hubungi Fadhil Hisham Mansor di talian 03-79566869 atau 016-6758214.
FAKTA
NAMA KEJOHANAN:
5mln5 +Cabaran adidas 2008
PESERTA:
* Bawah 14 (lahir pada atau selepas 1 Januari 1994)
* Bawah 16 (lahir pada atau selepas 1 Januari 1992)
TEMPOH PERLAWANAN:
10 minit satu perlawanan dengan 5 minit setiap babak
GELANGGANG:
* Padang Merbok, Kuala Lumpur (5 dan 6 April)
* Dataran Johor Bahru, Johor (12 dan 13 April)
* Padang Polo, Pulau Pinang (19 dan 20 April)
* Dataran Merdeka, Kuala Lumpur (10 dan 11 Mei)
BAYARAN PENYERTAAN:
* Bawah 14 (RM30 setiap pasukan)
* Bawah 16 (RM50 setiap pasukan)
HADIAH:
* Bawah 14 (baucer tunai adidas)
- Juara - RM2,000, trofi dan pingat
- Naib Juara - RM1,000
- Ketiga - RM800
- Keempat - RM500
* Pusingan Akhir (B-16 sahaja)
- Juara - RM3,000, trofi dan pingat
- Naib Juara - RM2,000
- Ketiga - RM1,000
- Keempat - RM600
SENARAI 24 PASUKAN LAYAK SETAKAT INI
Pusingan Pertama (Padang Merbok)
1 Seafield Plus
2 Teleflow A
3 DAR B
4 Misai FC
5 JKB Selayang B
6 Colourful A
7 Argentinos
8 Toby 01 FC
Pusingan Kedua (Johor Bahru)
9 Wira SSJ A
10 JFA Shark
11 Teenager
12 CRV Dahlia
13 Rivercat FC
14 Skudai Extreme
15 Stylo FC
16 Kertas Tetas FC
Pusingan Ketiga (Pulau Pinang)
17 Ada Ong
18 Cicakonyot 16
19 Shark Boyz Red
20 Bumi Alma A
21 SMK Sungai Acheh 16 B
22 SMK Guar Perahu 16 B
23 Perda Putra 16 B
24 Suria FC 16