Ahmad Luth, Prabudas bersama kejar impian
Oleh Mohd Amin Jalil
Dua atlit muda Negeri Sembilan mahu cemerlang pada temasya Sukma
NAMA M Ramachandran dalam sukan olahraga negara tidak mungkin dapat dilupakan kerana kejayaan atlit jarak jauh itu menobatkan nama negara di persada sukan antarabangsa terutama di rantau ini sukar dicari ganti.
Justeru tidak hairan ramai di kalangan atlit muda ketika ini mahu mengikut jejak langkah atlit itu yang berjaya mengharumkan nama negara sehingga dia dihormati dan disegani kawan dan lawan.
Bagi dua pelari muda jarak jauh iaitu 3,000 dan 5,000 meter dari Negeri Sembilan, Ahmad Luth Hamizan, 16, dan K Prabudas, 18, menyifatkan Ramachandran adalah atlit yang wajar dicontohi kerana semangat dan kesungguhannya hingga berjaya menobatkan dirinya sebagai atlit disegani di rantau ini.
Kedua-dua atlit ini yang bakal menggalas cabaran Negeri Sembilan pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) XII 2008, di Kuala Terengganu dari 31 Mei hingga 9 Jun depan, kini giat menjalani latihan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban.
Kedua-duanya sudah menanam tekad dan azam untuk memberikan persembahan cemerlang dengan meraih pingat emas dalam acara yang disertai itu bagi membantu kontinjen negeri maraih kedudukan terbaik pada temasya kali ini.
Bagi Ahmad Luth, dia yakin mampu memberi sumbangan bermakna pada penyertaan pertama temasya sukan terbesar negara itu kali ini bersandarkan prestasinya yang semakin memberangsangkan dalam latihan dan beberapa ujian yang dilakukan oleh Persatuan Olahraga Amatur Negeri Sembilan (POANS).
Pelajar SMK Seri Ampangan (SMSA) Seremban itu berkata walaupun menyedari prestasi semasa belum boleh dijadikan ukuran untuk merealisasikan impian itu, namun usaha sentiasa diberikan untuk memastikan prestasinya kekal pada tahap cemerlang.
“Saya sedar cabaran pada Sukma nanti amat mencabar kerana setiap atlit akan memberikan persembahan terbaik masing-masing, namun saya juga berkeyakinan tinggi untuk melakukannya.
“Bukan sesuatu yang mustahil jika kita terus berusaha memperbaiki persembahan dan tempoh masa yang ada ini memberi ruang kepada saya dengan bantuan jurulatih, untuk mencapai kemuncak prestasi dalam memastikan buruan pingat emas pada Sukma nanti tercapai,” katanya.
Pemenang pingat emas acara itu pada Kejohanan Olahraga Remaja Kebangsaan 2007 yang pernah mencatat masa 10 minit 8 saat dalam acara 3,000 meter, yakin mampu mengulangi kejayaan itu.
Anak kelima daripada tujuh beradik itu adalah antara atlit muda yang mempunyai potensi besar untuk meneruskan kesinambungan kejayaan sukan olahraga negara di peringkat antarabangsa, jika mendapat bimbingan sempurna.
“Fokus saya pada masa ini adalah untuk menyumbang pingat emas buat Negeri Sembilan pada Sukma di Terengganu nanti dan kemudiannya dapat mewakili negara pada temasya yang lebih besar seperti Sukan Sea pada masa depan,” kata Ahmad Luth.
Bagi Prabudas pula, sasarannya kini adalah dua pingat emas dalam kedua-dua acara kegemarannya itu pada Sukma nanti dan kini semakin yakin dengan prestasinya sejak meneruskan latihan awal tahun ini.
Katanya, rekod cemerlang yang dicatatkan tahun lalu dalam Kejohanan Sekolah-Sekolah Asean dengan merangkul emas bagi acara 5,000 meter dengan masa 15:52s dan gangsa dalam acara 3,000m meter dengan catatan 9:40s, mengakui masih boleh diperbaiki lagi.
“Saya akui ada ruang untuk dipertingkatkan lagi pencapaian itu, namun setakat ini saya berpuas hati dengan catatan rekod itu dan akan berusaha memperbaikinya lagi menjelang cabaran di Sukma nanti.
“Harapan saya untuk membawa pulang pingat emas bagi kedua-dua acara itu di Sukma nanti dan berharap ia menjadi permulaan yang baik buat saya untuk terus menyerlah dalam sukan ini sekali gus berpeluang beraksi pada pentas lebih tinggi khususnya kejohanan besar seperti Sukan Sea,” kata atlit yang berasal dari Rantau.
Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, sekalipun Sukma 2008 adalah penyertaan pertama namun dia tidak gentar berhadapan dengan mana-mana atlit.
DATA:
NAMA: Ahmad Luth Hamizan TARIKH LAHIR: 8 April 1992 TEMPAT LAHIR: Seremban, Negeri Sembilan TINGGI: 1.70 meter BERAT: 46 kg KEDUDUKAN DALAM KELUARGA: Anak kelima daripada tujuh beradik STATUS: Pelajar Tingkatan Empat SMK Seri Ampangan, Seremban SUKAN: Olahraga ACARA: 3,000 dan 5,000 meter MAKANAN KEGEMARAN: Mee goreng MINUMAN KEGEMARAN: Milo ais CITA-CITA: Pelari antarabangsa PENCAPAIAN: Emas 3,000m Kejohanan Olahraga Remaja Kebangsaan 2007
NAMA: K Prabudas TARIKH LAHIR: 30 Ogos 1990 TEMPAT LAHIR: Rantau, Negeri Sembilan TINGGI: 1.71 meter BERAT: 46 kg KEDUDUKAN DALAM KELUARGA: Anak kedua daripada tiga beradik STATUS: Bekas pelajar SMK Naim Shamsuddin, Rantau SUKAN: Olahraga ACARA: 3,000 dan 5,000 meter MAKANAN KEGEMARAN: Nasi ayam MINUMAN KEGEMARAN: 100 Plus CITA-CITA: Wakili negara peringkat antarabangsa PENCAPAIAN: Emas 5,000m dan Gangsa 3,000m Kejohanan Olahraga Sekolah Asean 2007
Artikel lain:
|
|
Copyright
2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami
sebarang maklum balas
|
|