Atlit lawan pedang Negeri Sembilan azam terus berjuang ke peringkat tertinggi
NAMA Ezzate Harun mungkin asing dalam arena sukan bukan saja di Negeri Sembilan malah negara kerana dia masih dianggap baru dan belum ada kejayaan yang tercipta daripada keringatnya setakat ini.
Namun begitu atlit lawan pedang berusia 15 tahun itu bertekad untuk menyinar dan menghangatkan kancah sukan negara dengan sasaran pertamanya pada temasya Sukan Malaysia (Sukma XII) di Kuala Terengganu, dari 31 Mei hingga 9 Jun depan.

Pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seremban 2, Seremban adalah antara 18 atlit yang sudah disenaraikan Persatuan Lawan Pedang Negeri Sembilan (PLPNS) untuk menggalas cabaran negeri itu pada temasya sukan dwi-tahunan itu.
Dia dan rakannya kini giat menjalani latihan di bawah bimbingan jurulatih, Ting Ting dari Indonesia yang dibiayai sepenuhnya PLPNS bersama Majlis Sukan Negeri (MSN) Negeri Sembilan.
“Saya bukan daripada kalangan atlit yang sudah mencipta nama kerana baru saja menjinakkan diri dengan sukan lawan pedang awal tahun lalu, namun begitu saya yakin boleh menguasai acara ini dengan baik melalui bimbingan dan latihan sempurna daripada jurulatih dan atlit senior lain yang lebih berpengalaman.
“Sebab itu, saya adalah antara 18 atlit yang disenaraikan untuk menggalas cabaran Negeri Sembilan pada temasya Sukma nanti dan pemilihan ini sudah pasti berdasarkan prestasi saya dalam latihan selain keyakinan persatuan untuk saya menggalas cabaran pasukan,” katanya.
Anak bongsu daripada empat beradik itu yang mendapat sokongan dan dorongan padu daripada ahli keluarganya, bertekad untuk membuktikan komitmennya dengan misi membawa pulang pingat buat Negeri Sembilan pada temasya sukan terbesar itu.
Dia yakin mampu merealisasikan matlamatnya itu kerana prestasinya kini semakin meningkat sekali pun belum diuji dalam pertandingan sebenar.
“Saya akan menyertai beberapa kejohanan yang sudah disusun PLPNS sebelum beraksi di Sukma dan mahu memastikan pada kejohanan itu nanti dapat meraih keputusan terbaik.
“Saya berhasrat mencari sinar dalam sukan ini walaupun dianggap baru, kerana matlamat utama saya adalah untuk mencapai tahap lebih jauh iaitu sehingga di peringkat antarabangsa suatu hari nanti.
“Begitu pun saya akui ianya bukan sesuatu yang mudah kerana lebih banyak lagi usaha perlu dilakukan selain berbekalkan semangat dan kecekalan yang tinggi," kata Ezzate.
Namun begitu, atlit muda itu yakin peluang tetap ada dan kejayaan yang diimpikan pasti tiba jika berusaha gigih serta tidak mengenal putus asa dan mengakui perlu fokus terhadap sukan yang diminatinya itu.
Dia menjalani latihan di Pusat Sukan Paroi dari jam 4 petang hingga 7 malam.
“Jadual latihan lawan pedang dan pelajaran yang ketat setiap hari memaksa saya bijak membahagikan masa dengan betul dan setiap masa terluang terutama ketika tiada latihan, akan digunakan untuk mengulang kaji pelajaran.
“Bagaimanapun bapa (Harun Mohammad, 63) banyak membantu dalam memberi dorongan serta semangat ke arah mencapai yang terbaik dalam sukan dan pelajaran.
“Bagi saya kedua-duanya (sukan dan pelajaran) adalah penting kerana ia akan menentukan masa depan kita. Aktif dalam sukan tidak bermakna kita terpaksa mengorbankan pelajaran,” katanya yang turut berazam untuk mencapai keputusan cemerlang pada Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) tahun ini.
Ezzate mengakui sudah bersedia untuk menyahut cabaran di Sukma dan berazam memberikan yang terbaik serta tidak mahu mensesiakan peluang bertanding di temasya terbesar negara itu nanti bagi memahatkan namanya dalam sukan lawan pedang.
DATA
EZZATE HARUN
TARIKH LAHIR: 24 Mei 1993
TEMPAT LAHIR: Kajang, Selangor
KEDIAMAN: Seremban, Negeri Sembilan
TINGGI: 1.54 meter
BERAT: 55 kg
ADIK BERADIK: Bongsu daripada empat adik beradik
STATUS: Pelajar SMK Seremban 2
SUKAN: Lawan pedang
ACARA: Foil individu
MULA MEWAKILI NEGERI: Januari 2008
MAKANAN KEGEMARAN: Pizza
MINUMAN KEGEMARAN: Milo, 100 Plus
CITA-CITA: Doktor
ATLIT IDOLA TEMPATAN: Nicol David
ATLIT IDOLA LUAR NEGARA: Salvatore Sanzo (Itali)